TASEK GELUGOR – Seorang lelaki ditemui mati berhampiran sungai di Kampung Tepi Sungai di sini, selepas dua jam keluar dari rumahnya semalam.
Difahamkan, kira-kira enam kilometer jarak kediaman mangsa dengan lokasi kejadian.
Mayat lelaki berusia 36 tahun ditemui seorang wanita yang juga penduduk kampung tersebut pada jam 1.30 tengah hari dalam keadaan tidak berbaju sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa dikatakan mengadu tidak boleh tidur malam sejak tiga hari lalu selain sering mengamuk dalam rumah sebelum kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki tersebut.
“Berdasarkan keterangan isteri mangsa, lelaki itu dikatakan meninggalkan rumahnya dengan menunggang motosikal pada jam 11.30 pagi sebelum dia dikejutkan dengan panggilan penemuan mayat.
“Tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat.
“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat,” kata beliau. – MalaysiaGazette