Home Nasional Anggota PGA mati lemas selepas terjatuh bot

Anggota PGA mati lemas selepas terjatuh bot

Mayat mangsa ditemui oleh nelayan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

LUMUT – Mayat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika melakukan aktiviti memancing di perairan Lekir di sini, ditemui hari ini.

Mangsa, Nurman Hafiz Nordin, 35, yang bertugas di Batalion Empat PGA Semenyih, Selangor ditemui nelayan kira-kira jam 8 pagi tadi.

Mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.09 malam semalam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dibantu BBP Seri Manjung melakukan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan.

“Hasil maklumat awal mendapati mangsa  bersama abang dan anak saudaranya menaiki sebuah bot bagi menangkap ikan di kawasan perairan Batu 8 Lekir.

“Mangsa dikatakan terjatuh apabila bot yang dinaiki berpusing ketika dalam perjalanan balik ke pelantar ikan Batu 8 Lekir pada jarak kira-kira 1.8 kilometer dari jeti tersebut,” kata jurucakap tersebut.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, operasi mencari bersambung pagi tadi dan mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 pagi,” kata jurucakap itu. – MalaysiaGazette