ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Belanjawan Johor 2022 berjumlah RM1.958 bilion bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri itu yang terjejas akibat Covid-19.
Ia diluluskan sebulat suara, sekali gus mengetepikan spekulasi sidang DUN Johor akan ‘panas’ berikutan peringatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan ‘tekan butang’ yang mampu menumbangkan kerajaan negeri Johor.
Peringatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu selepas veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Muhyiddin menarik sokongan kepada Hasni.
Belanjawan dengan tema ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor ‘ itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada 18 November lalu.
Belanjawan 2022 Johor dijangka mencatatkan defisit sebanyak RM286.47 juta dan ia merupakan belanjawan defisit untuk dua tahun berturut-turut setelah mencatatkan lebihan bagi 10 tahun berturut-turut sebelum itu.
Hasni ketika membentangkan belanjawan itu berkata, unjuran hasil negeri untuk 2022 adalah sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.958 bilion.
Beliau berkata, tema itu dipilih untuk sejajar dengan hasrat kerajaan Johor untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat Johor yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
“Belanjawan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri yang giat berusaha untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.
“Segala pertimbangan bagi Belanjawan Johor 2022 dipandu oleh dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan keduanya, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor ekonomi negeri secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette