KUANTAN – Pemohon baru Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat jika merasakan mereka layak menerima bantuan itu secara automatik pada tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, proses BKM akan dipermudahkan untuk kesejahteraan dan semua permohon baru boleh mengemaskini permohonan bermula 1 Januari sehingga 31 Januari 2022.
“Bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas COVID (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.
“Kerajaan kekal komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada tahun 2022 yang akan memanfaatkan 9.6 juta penerima,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata demikian selepas Majlis Penutup Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Paya Besar, di sini, hari ini.
Menurut Shahar, data penerima BPR, BKC serta data daripada agensi kerajaan lain akan dimasukkan ke dalam permohonan BKM.
“Bagi permohonan baharu dan kemas kini BKM pula, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Januari2022 bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan diberikan peluang untuk memohon.
“Untuk makluman juga, pembayaran BKM akan dilaksanakan empat kali setahun dan tarikh pembayaran BKM pertama dijangka dilakukan pada Mac 2022,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Shahar berkata, pembayaran fasa 2 BKC telah dibuat pada Khamis lalu dengan peruntukan RM300 juta yang melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.
Tambah beliau, bayaran fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada bulan Disember 2022 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40. – MalaysiaGazette