TUARAN – Cadangan mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti politik dan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah sehingga dua penggal akan dibincang secara bersama oleh pemimpin parti komponen gabungan itu, kata Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, secara dasarnya kedua-dua cadangan itu dilihat baik untuk Sabah, namun memerlukan persetujuan semua parti komponen GRS sebelum dapat dilaksanakan.
Hajiji berkata, beliau menyambut baik kesediaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin membincangkan cadangan mendaftarkan GRS sebagai parti politik secara teliti dan berharap langkah itu dapat mengukuhkan kerjasama dalam gabungan itu.
“Kerajaan Negeri Sabah didukung oleh GRS, jadi untuk mendaftar gabungan ini secara rasmi adalah cadangan yang boleh kita pertimbangkan, mana-mana yang baik untuk politik Sabah dan GRS kita akan teliti sebaiknya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan GRS, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mencadangkan supaya pemimpin GRS mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.
Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, dilapor berkata ia sebagai langkah mengukuhkan GRS yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dan perlu bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli gabungan khususnya antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
Semalam Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi I GRS dilaporkan berkata, cadangan mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi memerlukan penelitian lebih mendalam.
GRS adalah gabungan parti dalam PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) serta Parti Bersatu Sabah.
Mengulas lanjut cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah sehingga dua penggal, Hajiji berkata, cadangan yang diusulkan pada Persidangan Tahunan Bersatu Peringkat Bahagian di Sabah itu, akan dibawa ke peringkat kerajaan untuk dipertimbangkan selepas dipersetujui parti komponen GRS.
“Usul ini melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah, jadi perlu diteliti secara terperinci semua pihak termasuk pimpinan GRS, selepas itu barulah tindakan seterusnya dapat dilakukan,” katanya.
Selain Bersatu Bahagian Tuaran pada hari ini, bahagian lain yang mengusul dan meluluskan cadangan itu sebelum ini ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau. – Bernama