KUALA LUMPUR – Kerjasama daripada semua pihak terutama kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peniaga serta pengguna perlu wujud bagi menangani kenaikan harga barangan keperluan harian.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma’amor Osman berkata, usaha itu perlu memberi tumpuan mengikut bidang kuasa masing-masing dan memastikan kaedah penyelesaian yang dicadangkan dapat dilaksanakan.
Katanya, disebabkan antara punca kenaikan harga barangan keperluan ialah harga bahan mentah yang tinggi, kerajaan perlu memberi bantuan dengan memastikan harganya kekal rendah.
Malah, tambah beliau, semua pihak perlu membuat justifikasi mengenai kos yang terlibat.
“Perlu ada ketelusan dari pihak kerajaan, peniaga, peladang dan penternak dalam memberikan justifikasi tentang kos sebenar supaya pengguna faham mengapa terjadinya kenaikan harga tersebut,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengadakan perbincangan dan peniaga dan wakil pengguna bagi mendapatkan harga yang bersesuaian dan tidak mengambil keuntungan luar biasa dan membebankan pengguna.
Menurut Ma’amor, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyebabkan harga barangan meningkat berikutan permintaan menurun disebabkan sektor ekonomi tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Namun setelah sektor ekonomi kembali rancak, permintaan mula meningkat, ujarnya sambil menambah kekurangan pekerja juga menumbang kepada peningkatan harga barangan.
Ma’amor berkata, pengguna tidak mempunyai pilihan kerana kenaikan harga melibatkan barang keperluan utama yang menyebabkan mereka berasa terbeban berikutan kesempitan hidup akibat pelaksanaan PKP.
Namun katanya, sebagai pengguna bebanan dapat dikurangkan dengan membawa bekal ke tempat kerja selain mereka digalakkan berkebun di kawasan rumah masing-masing.
Katanya, warga tempatan juga tidak sepatutnya memilih kerja pada waktu yang sukar ini dan sentiasa mengambil peluang yang ada dalam usaha meningkatkan taraf hidup. – MalaysiaGazette