Home Politik Ucapan Afif tiada fakta, cuba tutup kelemahan Bersatu

Ucapan Afif tiada fakta, cuba tutup kelemahan Bersatu

Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menempelak ucapan Dr. Afif Bahardin pada Persidangan Tahunan Bahagian Bersatu Shah Alam semalam.

Ketua AMK Shah Alam, SP Sarawanan menyifatkan ucapan Timbalan Ketua Penerangan II BersatuĀ  itu tidak berfakta dan cuba menutup kelemahan parti beliau.

Malah katanya, sejarah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam arus Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bergantung kepada sokongan pakatan atau gabungan lain.

“Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan dengan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang turut dimainkan oleh beliau dan rakan-rakan lain, Bersatu yang asalnya bersama PH telah bergabung bersama Perikatan Nasional meskipun UMNO, MCA dan MIC tidak menyokong.

“Selepas presiden beliau digulingkan dengan hanya 18 bulan memerintah Perikatan Nasional. Maka seharusnya Afif membuat penilaian sendiri sebelum mengecilkan parti yang telah mengangkatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya selama dua penggal,” katannya menerusi hantaran di Facebook.

Sarawanan berkata, pengkhianatannya dalam Langkah Sheraton pasti akan dihakimi oleh rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya pada PRU-15 kelak.

“AMK Shah Alam bersimpati terhadap rakyat di Seberang Jaya yang mana ADUN banyak menghabiskan masa berjalan-jalan di Shah Alam daripada memberi khidmat kepada rakyat di sana.

“AMK Shah Alam menegaskan Keadilan di Shah Alam akan terus kukuh dan bersedia mempertahankan DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga. Sekiranya beliau cuba ‘mengintai’ Parlimen Shah Alam, PKRĀ  akan mempertahankan demi PH,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sarawanan berkata, AMK Shah Alam menasihatkan agar Afif sentiasa bermuhasabah dan merendah diri serta berhati-hati ketika berucap.

Beliau sepatutnya memperbaiki prestasi Bersatu dan khidmat di kawasan Seberang Jaya serta tidak menyibukkan diri dengan bekas parti yang telah beliau khianati.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Afif dipetik berkata, beliau yakin Bersatu dapat menggulingkan PKR di Shah Alam khususnya dan PH umumnya pada PRU akan datang.

Katanya, demi mencapai matlamat berkenaan, Bersatu perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai pengalaman untuk menyusun strategi bagi berhadapan PRU ke-15. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bersatu akan usaha kembalikan Muhyiddin sebagai PM – Afif Bahardin