Home Nasional Seramai 9,356 pegawai, anggota polis sedia hadapi PRN Sarawak

Seramai 9,356 pegawai, anggota polis sedia hadapi PRN Sarawak

charity scam
Deputy Inspector-General of Police Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia dengan persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pasukannya sudah melakuan segala persiapan daripada segi modal insan menjamin keselamatan awam sepanjang proses demokrasi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita lihat kepada tiga perkara menjelang PRN Sarawak kali ini iaitu pertamanya modal insan sendiri membabitkan pegawai dan anggota yang bertugas di Sarawak nanti.

“Kita memerlukan seramai 9,356 pegawai dan anggota PDRM di Sarawak dan kita sudah bersiap sedia dengan jumlah kekuatan itu yang sedia ada di negeri tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Terdahulu beliau yang ditemani Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed serta Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed hadir merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Mazlan menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menurunkan pasukan dari Bukit Aman untuk turun membantu kekuatan pegawai dan anggota yang sedia ada di negeri Bumi Kenyalang itu pada PRN kali ini.

Menurut beliau, modal insan pegawai dan anggota polis yang sedia ada di negeri berkenaan ketika ini adalah mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim PRN kelak.

“Kita sudah pun bersiap sedia menghadapi PRN dan cuma nasihat saya adalah jangan mencetuskan sebarang kekecohan semasa PRN nanti.

“Malah, patuhilah SOP yang ditetapkan bagi memastikan proses mengundi secara demokrasi itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah demi ketenteraman dan kesejahteraan awam di negeri itu,” tegasnya.

SPR telah bermesyuarat khas pada 24 November lalu di Kuching, Sarawak sebelum mengumumkan PRN negeri itu akan diadakan pada 18 Disember 2021. – MalaysiaGazette