Home Seni Hidup Dulu kereta kena tarik, kini mampu beli Ferrari

Dulu kereta kena tarik, kini mampu beli Ferrari

Pemilik empayar Sumosauna, pasangan suami isteri Norrizah Hazirah Maulana dan Mohd Helmi Izani.

KUALA LUMPUR – Di sebalik setiap pergelutan dan kesusahan, pasti ada kemanisan dan kejayaan yang bertamu.

Demikian terjadi kepada pasangan suami isteri pemilik empayar sauna mudah alih, Sumosauna, Norrizah Hazirah Maulana, 32, dan Mohd Helmi Izani, 31.

Selepas memiliki gudang dan lima lot kedai masing masing di Pekan Nanas, Johor, kisah pasangan itu berjaya membeli kereta mewah jenis Ferrari pada 18 November lalu dengan nombor plat IIUM 12 hangat diperkatakan dan tular di media sosial.

Cuma kisah di sebalik pemilihan nombor plat yang mengabadikan nama universiti tempat pengajian pasangan itu mendapat banyak reaksi.

“Kerana saya dan suami belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak. Saya graduan Ekonomi manakala suami pula belajar Kejuruteraan Mekanikal.

“Cuma untuk kelainan, kami guna akronim universiti itu dalam bahasa Inggeris iaitu International Islamic University Malaysia (IIUM). Angka 12 tu kebetulan ada simbolik dan kenangan tersendiri untuk saya dan suami.

“Kami bangga mencipta kejayaan di situ. Kami pun mengalu alukan golongan pelajar universiti itu untuk menjana pendapatan bersama Sumosauna. Ada 3 orang ‘top leader’ di kalangan graduan di situ yang sudah jadi jutawan dan hanya menjadi suri rumah,” katanya yang mesra dengan panggilan Kak Bi di kalangan ejen dan pengikutnya di media sosial.

Bisnes sauna mudah alih telah mengubah hidup Norrizah.

Kata Kak Bi, dia tidak pernah menyangka kereta idaman yang selama ini hanya menjadi gambar hiasan serta paparan di komputer peribadi selain menjadi poster di dinding mampu dibeli kini.

“Allah Maha Kaya. Aturan Tuhan itu cantik. Jatuh bangun dalam hidup yang mematangkan diri. Namun saya dan suami juga bangga kerana hasil jualan produk sauna kami mampu melahirkan 12 orang golongan jutawan. Bahkan ada usahawan dibimbing mencapai jualan satu juta pertama dalam tempoh 11 bulan.

“Mereka itu bermula dari kosong, tapi dibantu dan dibimbing kami sendiri sampai berjaya hingga boleh beli kereta dan rumah idaman.

“Malah saya bangga kerana separuh daripada jumlah jutawan itu daripada golongan suri rumah. Selebihnya daripada golongan bekerjaya seperti cikgu dan jururawat,” katanya.

Hakikat Kak Bi bermula dengan bekerja di sektor profesional sebelum menjadi suri rumah yang mencuba pelbagai jenis cabang perniagaan.

“Selepas berkahwin, saya berhenti kerja sebagai pegawai eksekutif. Sempat kerja dalam setahun lebih. Suami ketika itu pun masih belajar di UIA. Saya mula berjinak jinak dalam dunia niaga sekitar tahun 2014. Cuba nasib jadi agen jual pelbagai jenis produk.

“Awal 2016, saya beranikan diri jual pakaian kanak kanak sendiri. Percaturan berjaya kerana membuahkan hasil. Tapi sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

“Kesibukan bekerja dan cari duit, buat saya lupa nikmat dan keberkatan mengenai peranan serta kewujudan ibu bapa. Lupa jaga perasaan mereka. Malah sampai tahap dalam tak sedar buat ibu dan bapa mentua terguris hati,” kata ibu kepada empat anak itu.

Kereta Norrizah pernah ditarik sebulan ini gara-gara bayar tertunggak enam bulan.

Tahun 2017 menyaksikan pasangan itu berdepan dengan ujian hebat.

“Pada satu tahap, tak ada duit di tangan. Hanya bergantung duit yang ibu bapa berikan kepada cucu mereka. Bahkan, saya dan suami pernah korek duit di setiap penjuru rumah untuk cukupkannya demi nak beli sekilo beras.

“Kereta pernah ditarik sebab enam bulan tidak bayar. Bil api dan air kene potong hingga akhirnya keluar dari rumah sewa di Johor sehelai sepinggang dan tahu tahu arah tuju nak ke mana. Masa itu saya hamil anak ketiga,” katanya.

Akhirnya keluarga itu pulang ke rumah mentua di Kota Tinggi.

“Daripada situ keberkatan dan rezeki mula masuk. Saya dan suami mula sedar hidup lebih bermakna jika kita terus memuliakan ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mukjizat.

“Dipendekkan cerita, pada November 2018 kami mula tercetus idea menjual sauna mudah alih. Suami sebelum itu juga ditawarkan kerja dengan gaji yang besar di sebuah syarikat broker. Ikutkan saya tak bekerja pun okey.

“Perkongsian saya di Facebook ketika memuat naik entri mengenai suami yang nak kurus dan guna sauna mudah alih mencuri perhatian pengikut. Bermulalah pra tempahan hingga kami mengeluarkan jenama sendiri,” katanya.

Kak Bi berkata, akhirnya suami memutuskan untuk berhenti kerja di syarikat broker sejak 27 Februari lalu dan sama sama membangunkan produk sauna berkenaan.

“Daripada 5 unit sauna mudah alih sebulan terjual, kami akhirnya pernah mencapai jualan 5000 unit. Agen juga bertambah dari lima hingga menjadi 18000 di seluruh Malaysia.

“Sebab saya tak larat uruskan seorang diri, maka di ‘paksa’ suami berhenti kerja. Kami sama sama jadi pemilik dan pengarah urusan.

“Ketika pandemik Covid-19 menyerang dunia, bagai ada hikmah… permintaan produk sauna itu meningkat berkali ganda,” katanya sambil sambil memberitahu maklumat lanjut boleh layari www.sumosauna.com atau ikuti Instagram @sumosaunahq.

Sauna mudah alih yang diiktiraf sebagai Asia Pacific TOP Excellence Brand 2021/2022 itu dijual pada harga RM399 seunit. Ketika ini juga kempen ‘slim sebelum raya sedang rancak berjalan dengan ganjaran menarik menanti. – MalaysiaGazette