KUALA LUMPUR – Bekas penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun dilaporkan semakin hampir untuk kembali memperkuatkan Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.
Pihak pengurusan pasukan dikhabarkan cuba untuk memberi tawaran kenaikan gaji sebanyak 30 peratus namun nilai tersebut masih tidak dapat menandingi tawaran yang diberikan kepada Ifedayo oleh kelab terbabit.
“Selangor FC mengucapkan selamat tinggal kepada penyerang prolifik Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun yang telah menerima tawaran yang lebih baik bagi musim hadapan.
“Pemain kesayangan penyokong Selangor ini telah bersama skuad Gergasi Merah sejak tahun 2019 dan telah mempamerkan aksi yang luar biasa bersama pasukan sejak perlawanan sulung beliau.
“Ifedayo akan sentiasa menjadi salah seorang penyerang paling berbisa yang pernah bermain bersama Selangor setelah memenangi anugerah kasut emas untuk dua musim berturut-turut dan memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super Malaysia.
“Selangor FC mengucapkan terima kasih kepada Ifedayo atas sumbangan yang telah beliau berikan kepada kelab selama ini, dan mengucapkan selamat maju jaya,” katanya yang dipetik daripada kenyataan yang dikeluarkan di media sosial.
Sepanjang beraksi bersama Selangor, Ifedayo telah menjaringkan 56 gol dalam 57 penampilan, termasuk dua anugerah Kasut Emas saingan Liga Super pada musim 2020 dan 2021.
Sebelum melepaskan pemain dari Nigeria ini, Selangor terlebih dahulu kehilangan khidmat seorang lagi pemain utama iaitu Syahmi Safari yang mana pemain itu menebus kontrak sedia ada, sekaligus membenarkannya untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim hadapan.
Ifedayo pernah beraksi bersama Melaka United pada musim 2017 dan kelab Bahrain, Al Hidd sebelum itu.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan 15 gol dalam 17 perlawanan yang dihadapi. – MalaysiaGazette