Home Utama Negara tak bergantung kepada FDI China – Tiong Lai

Negara tak bergantung kepada FDI China – Tiong Lai

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kanan) melawat ruang pameran '1st Asia Retail & O2O Conference and Expo 2017' di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan dakwaan bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada pelaburan asing langsung (FDI) China.
Katanya, dakwaan itu hanya bermotifkan manipulasi politik yang bertujuan memberi tanggapan Malaysia memberi peluang kepada China mempengaruhi ekonominya.
“China bukan pelabur nombor satu untuk Malaysia. Kita masih ada negara Asia seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan negara ASEAN lain.
“China, negara yang datang kemudian untuk berurusan dengan kita malah Malaysia adalah salah sebuah destinasi pelaburan FDI untuk China,” katanya yang juga Presiden MCA kepada pemberita  di ibu negara.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada FDI China dalam membangunkan ekonominya.
Tiong Lai berkata, segala cubaan memanipulasi politik oleh pihak tertentu perlu dikikis dan apa yang prlu dilakukan ialah memberi tumpuan mengembangkan ekonomi negara.
“Kita sedang memberi fokus kepada pembangunan ekoomi negara ini dan saya ingin menjelaskan bahawa segala pembohongan ini tidak akan menjejaskan usaha kita dalam memacukan ekonomi ke tahap mampan.
“Kita berjaya menarik pelabur asing dengan pelbagai inisiatif transformasi ekonomi untuk melabur di negara ini.
“Janganlah kita membiarkan manipulasi politik mengekang usaha kita, pertumbuhan ekonomi kita pada tahap 5.8 peratus dan mahu terus menampakkan kesan positif itu,” katanya. – MalaysiaGazette