OVIEDO, Sepanyol – Seramai 13 pemain dan kakitangan pasukan bola sepak liga premier Lisbon diuji positif varian koronavirus, Omicron, kata para pegawai kesihatan Portugal.
Ahli pasukan Belenenses SAD telah dikuarantin beberapa hari pada minggu lalu selepas didapati positif virus tersebut.
Penyerang, Thibang ‘Cafu’ Phete telah pergi ke Afrika Selatan baru-baru ini.
Ketua perkhidmatan kesihatan Portugal, Graca Freitas berkata, kes itu ‘berkembang dengan baik’ dan majoriti mereka yang terkena jangkitan telah divaksin, lapor agensi berita, Anadolu.
Bercakap kepada stesen radia tempatan, TSF, beliau berkata, sejak varian baru menjelma, pihak berkuasa akan memberi fokus kepada penjejakan, pengasingan dan melakuan ujian secara agresif.
Pemain Benfica yang menentang Belenenses SAD pada Sabtu lalu juga akan menjalani ujian, kata Freitas.
Pengajuran perlawanan itu dikecam banyak pihak kerana ia tidak dibatalkan. Pada perlawanan itu Belenenses SAD bermain dengan sembilan orang dan tiada pemain gantian.
Berdepan dengan 11 pemain Benfica, perlawanan tersebut dihentikan pada separuh masa pertama, ketika Benfica mendahului 7-0, selepas pemain Belenenses tercedera.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Portugal turut berdepan dengan dua penumpang yang terbang dari Maputo, Mozambique yang didapati positif koronavirus.
Menurut kenyataan Institut Kesihatan Portugal (INSA) yang memantau virus tersebut, ‘tidak terdapat data saintifik untuk menyokong (varian Omicron) menularkan dengan lebih pantas atau berkeupayaan mengurangkan keberkesanan vaksin’.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang mengisytiharkan kekhuatiran terhadap satu strain varian, sedang menyelaras dengan para penyelidik di seluruh dunia untuk memahami dengan lebih baik tentang Omicron. – Agensi