SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperkenalkan program berkaitan pertanian dan usahawan untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dalam kalangan belia di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Penggerak Belia Selangor melalui portfolionya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk mewujudkan peluang aktiviti pertanian kepada belia.
Katanya, kerajaan negeri juga mengadakan satu lagi MoU dengan Hijrah bagi mewujudkan produk khas bagi membantu belia menceburkan diri dalam bidang usahawan.
“Dua program ini menjadi fokus kita apabila tiba pasca pandemik Covid-19 dan saya harap Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membantu usaha ini dengan mengenal pasti belia yang berminat dalam bidang pertanian mahu pun usahawan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan di sidang DUN Selangor di sini hari ini.
Mengenai bantuan Program RIGHT, Mohd Khairuddin berkata, ia bukan program jangka panjang, sebaliknya berbentuk one-off.
Kata beliau, pihaknya kita telah menerima lebih 8,000 permohonan untuk mendapatkan bantuan menerusi program itu.
Bagaimanapun, kira-kira 3,000 pemohon telah menerima dan akan dilanjutkan lagi tahun depan dengan melebarluaskan permohonan ke utara serta selatan Selangor.
“Menerusi program ini, pemohon akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan sepanjang 2020, seramai 3,700 peserta telah menyertai program ini dengan jumlah peruntukan RM1.95 juta.
“Bagi sepanjang tahun ini, kita telah terima 8,000 permohonan dengan majoriti pemohon berumur 21 hingga 23 tahun.
“Kita akan teruskan progam ini dan kita juga akan menambah baik pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette