GEORGE TOWN – Dilema kira-kira 50 penduduk tingkat 31 Apartmen Centrio Avenue di Taman Bukit Gambir di sini berkaitan masalah rumah dimasuki air akibat bumbung bocor sejak tahun 2015 mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah.
Mohd Yusni akan membawa masalah yang dialami penghuni apartmen tersebut ketika berbahas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang sedang berlangsung sejak Jumaat lalu.
Jelas beliau, usul itu akan dibentangkan bagi mendapatkan penyelesaian kepada penduduk yang dikatakan tidak boleh menghuni rumah mampu milik yang dibeli mereka susulan air memasuki kira-kira 14 unit kediaman di tingkat 31 itu.
“Saya akan bentang isu penduduk ini dalam perbahasan saya nanti sama ada petang ini atau esok. Saya bukan ADUN kawasan itu tetapi sebagai wakil rakyat saya tetap akan bawa isu ini untuk pengetahuan ahli sidang dewan agar mereka dapat satu kata putus daripada pihak kerajaan negeri.
“Selain itu, saya juga akan sampaikan masalah ini kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkaitan kerana isu ini menghantui penduduk terlibat hampir enam tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan DUN Pulau Pinang di Lebuh Light hari ini.
Terdahulu, Mohd Yusni menerima memorandum daripada wakil penduduk berhubung masalah penghuni tingkat 31 Apartmen Centrio Avenue di sini.
Dalam masa sama, beberapa penghuni yang terkesan akibat masalah itu membuat bantahan aman bertentangan bangunan DUN Pulau Pinang dengan masing-masing memegang kad manila bertulis: ‘DAP jaga tauke rakyat merana’; ‘Kerajaan tidak peduli rakyat’ dan ‘Bila mau buat kerja!’.
Rata-rata mereka meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan mampu milik itu memandangkan masalah kebocoran bumbung berlaku sejak mereka mendiami unit berkenaan pada tahun 2015 sehingga kini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN