Home Nasional Malaysia hab logistik Asia – Tiong Lai

Malaysia hab logistik Asia – Tiong Lai

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kiri) melawat pameran selepas pembukaan '1st Asia Retail & O2O Conference and Expo 2017' di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi fokus dalam sektor logistik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab logistik Asia pada masa akan datang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sasaran tersebut boleh dicapai menerusi Jawatakuasa Tindakan Khas yang bertujuan membangunkan sektor itu sejak 2015.

“Kita telah mewujudkan Pasukan Tindakan khas dalam sektor logistik dan sedang meneliti untuk mengembangkan pembangunan logistik secara pesat.

“Selain itu, pendalaman Pelabuhan Kuantan serta penambahbaikan infrastruktur di Pelabuhan Klang, Tanjung Pelepas dan Gateway Melaka akan menambah peluang untuk merealisasikan hab logistik ini.

“Saya pasti sektor logistik boleh berkembang laju dan pelabuhan-pelabuhan utama di negara sudah bersedia menerima perubahan itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Peruncitan Asia 2017 hari ini.

Hadir pada majlis, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, pihaknya sedang mengkaji peluang bekerjasama dengan Alibaba Group Holdings untuk berkongsi pengetahuan mengenai e-dagang.

“Kita juga sedang mempertimbangkan peluang untuk menjalin kerjasama teknologi dengan syarikat e-dagang lain di rantau ini untuk mengukuhkan platform kita ke peringkat antarabangsa.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan China untuk membentuk rakan sekutu pelabuhan Malaysia dan China yang akan membantu pertumbuhan sektor logistik negara.

“Selain fokus terhadap pembangunan e-dagang, kita juga boleh mempertingkatkan logistik menerusi sektor perisian, rangkaian keretapi menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Malah pengaktifan Laluan Sutera abad ke-21 juga akan membantu Malaysia ke arah mencapai status hab logistik Asia,” kata beliau.

Dalam mencapai usaha itu, katanya kerajaan sedang berusaha untuk membawa kargo dari selatan Thailand ke Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang selain dari Sumatra.

“Kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah rantau Asia Tenggara antara faktor yang akan memberi kelebihan untuk muncul sebagai hab logistik,” ujarnya. – MalaysiaGazette