Home Nasional Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi transit hidupan liar

Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi transit hidupan liar

Abdul Kadir Abu Hashim

BATU FERRINGHI – Malaysia dikenal pasti dijadikan lokasi transit oleh sindiket rentas sempadan bagi kegiatan penyeludupan hidupan liar sebelum dijual menerusi pasaran gelap di rantau Asia.

Antara hidupan liar yang diseludup ialah burung murai batu, tenggiling, sisik tenggiling, kijang, sumbu badak serta gading gajah.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, aktiviti penyeludupan hidupan liar itu dipercayai dilakukan menerusi udara dan laut berdasarkan rampasan dan tangkapan yang dilakukan selama ini.

Jelas beliau, menerusi siri rampasan, pihaknya mendapati murai batu banyak diseludup ke Indonesia manakala tenggiling pula diseludup dari negara itu sebelum dibawa ke China serta Vietnam.

“Bagi sisik tenggiling pula is selalunya di seludup dari Afrika Selatan dan sepanjang tahun lalu, kita berjaya melupuskan sebanyak dua tan sisik tenggiling.

“Selain itu, kita percaya bahawa ketua sindiket (penyeludupan hidupan liar) di Malaysia tidak ramai iaitu kurang daripada 10 orang dan kita bersama beberapa agensi akan berusaha mengesan dan menangkap mereka,” katanya pada sidang media di Hotel Double Tree Resort di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Kadir menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Mazlan Lazim (kanan) serta Abdul Latif turut sama pada sidang media tersebut.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 69 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi OBK sudah dibuka membabitkan keseluruhan nilai RM31.86 juta.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil hampir 12 siri operasi rondaan di lapangan yang membabitkan beberapa agensi termasuk Jabatan Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia.

“Selain itu sebanyak 293 jerat hidupan liar turut dimusnahkan serta 2,352 lain-lain kesan pemburuan dan
pencerobohan berjaya direkodkan.

“Seramai 127 pesalah ditahan yang mana 117 daripadanya adalah warganegara Malaysia dan 10 warga asing.

“Negeri Johor adalah yang tertinggi didapati terbabit dengan kesalahan itu diikuti Pahang,” kata beliau. – MalaysiaGazette