BATU FERRINGHI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan biro jenayah hidupan liar bagi menyiasat kes jenayah berkaitan sindiket penyeludupan haiwan di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit itu akan diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan 50 penjawatan baharu.
Kata beliau, kertas kerja berhubung penjawatan untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu sedang dilakukan dan unit tersebut akan beroperasi secepat mungkin.
“ (Sebanyak) 50 penjawatan baharu itu membabitkan pegawai dan anggota agar mampu membanteras kegiatan sindiket penyeludupan liar di negara ini.
“Kita tidak boleh tunggu lama untuk penubuhan unit ini kerana bimbang hidupan liar termasuk yang dilindungi pupus akibat kerakusan sindiket,” katanya pada sidang media di Hotel Double Tree Resort, di sini, hari ini
Terdahulu, Mazlan menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Mengulas lanjut Mazlan berkata, pihaknya akan menggunakan kepakaran polis untuk melumpuhkan kegiatan penyeludupan hidupan liar.
“Kita juga akan menggunakan undang-undang sedia ada terhadap sindiket ini termasuk Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” kata beliau. – MalaysiaGazette