SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan tiga lelaki termasuk seorang cucu kepada seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P Ramlee daripada pertuduhan mengedar lebih empat kilogram dadah jenis ganja.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Cucu P Ramlee iaitu Zakaria Nasir Nasir, 30, Mohd Faizul Zulkipli, 37, dan Mohammad Saifuddin Darmawan, 34 telah didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama mengedar ganja seberat 4,678.5 gram di sebuah kediaman di Puchong pada pukul 3.50 petang, 15 Januari 2018.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Zakaria Nasir diwakili peguam Latheefa Koya dan Zaid Malek, Mohd Faizul diwakili Rajpal Singh dan Phan Yantong Nur Sarah manakala Mohammad Saifuddin diwakili Dir Kheizwan Ab Halim @ Kamaruddin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail. – Bernama