Home Nasional Kekuatan negara diukur dari sektor swasta

Kekuatan negara diukur dari sektor swasta

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berucap pada majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2017 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 12 SEPTEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Masa depan negara tidak lagi dilihat kepada kekuatan kerajaan menguruskan sektor awam dan negara semata-mata, sebaliknya ia perlu diukur dari segi kekuatan sektor swasta tempatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sektor swasta itu kini menjadi kekuatan negara apabila mampu menjana kekayaan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
“Kekuatan mereka ini dilihat apabila mampu memberikan perkhidmatan-perkhidmatan sendiri yang akhirnya memberikan yang terbaik kepada rakyat.
“Ini kerana tidak semua (perkara) boleh diberikan oleh kerajaan,” katanya berucap merasmikan majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2017, di sini, hari ini.
Ahmad Shabery berkata, sesebuah kerajaan itu boleh dianggap terbaik apabila berupaya menyediakan perkhidmatan yang memudahkan rakyatnya memula, melaksana dan menjalankan sesebuah perniagaan.
“Kumpulan Bank Dunia membuat indeks, The Ease of Doing Business, membandingkan antara satu negara dengan satu negara di mana melihat negara manakah yang mudah untuk kita melaksana atau menjalankan perniagaan.
“Malaysia pada 2017 berada di tangga 23 daripada 190 ahli ekonomi dibandingkan dengan negara teratas seperti New Zealand, Singapura, Denmark dan Hong Kong.
“Semakin maju negara tersebut semakin mudah bagi rakyatnya untuk berniaga, kalau negara seperti Somalia, Utopia, Libya dan Iraq, kita boleh bayangkan bahawa negara ini bermasalah hingga menyukarkan orang jalankan perniagaan,” jelasnya.
Katanya, sistem lama yang digunakan di negara ini dipercayai antara punca yang menyebabkan kedudukan Malaysia dari tangga 22 jatuh ke 23 pada tahun ini.
“Antara sebab yang mengheret kita jatuh dalam indeks Kumpulan Bank Dunia itu ialah kerana mungkin kita menggunakan sistem lama dari segi nak mulakan perniagaan.
“Nak berniaga kena pergi kepada pendaftar, kena buat carian nama dan sebagainya, sebab mereka mengukur dari segi itu, ada negara yang mengambil masa satu hari, ada yang ambil masa 0.8 hari dan 0.0 hari.
“Ada juga mengukur bagaimana menguruskan sistem percukaiannya, senang atau sukar, bagaimana nak buat eksport dan membuat transaksi antara sempadan dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette