Home Dunia Bekas PM Lesotho didakwa bunuh isteri

Bekas PM Lesotho didakwa bunuh isteri

Thomas Thabane dan isterinya Maesaiah Thabane. foto Instagram

MASERU – Bekas Perdana Menteri Lesotho, Thomas Thabane, 82, didakwa pada hari Selasa atas pembunuhan isterinya dalam kes yang telah mengejutkan banyak pihak.

Isterinya sekarang, Maesaiah Thabane, juga telah didakwa atas pembunuhan itu.

Pasangan itu duduk bersebelahan ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di dalam kamar tertutup di Mahkamah Tinggi Lesotho.

Maesaiah Thabane, 43, dan bekas perdana menteri itu, mengaku tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

Dengan memakai sut berjalur biru laut dan kemeja biru muda, Thomas Thabane duduk dengan tenang di sebelah isterinya, yang memakai gaun merah dan topi jerami, ketika pertuduhan dibacakan.

Lipolela Thabane ditembak mati ketika dia duduk di dalam kereta berhampiran rumahnya di sini, beberapa hari sebelum Thomas Thabane mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Jun 2017.

Ketika itu mereka sedang dalam proses perceraian.

Polis mendakwa Maesaiah mengupah lapan pembunuh upahan untuk membunuh Lipolelo tetapi tidak hadir semasa pembunuhan itu.

Thomas dan Maesaiah Thabane, yang berkahwin dua bulan selepas kejadian tembakan, juga didakwa atas cubaan membunuh Thato Sibolla yang bersama Lipolelo Thabane ketika dia ditembak dan dengan berniat jahat pada harta benda – kereta mangsa.

Thomas Thabane meletak jawatan pada Mei 2020 selepas desakan untuk berhenti daripada Parti Konvensyen Semua Basotho (ABC), tokoh pembangkang dan pengantara Afrika Selatan.

Kes akan dibicarakan pada 8-10 Mac 2022. – Reuters