Home Utama Varian Omicron Covid-19 risiko lebih tinggi jangkitan semula – KKM

Varian Omicron Covid-19 risiko lebih tinggi jangkitan semula – KKM

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Varian baharu Omicron Covid-19 yang dikesan baru-baru ini lebih cepat menular berbanding varian-varian lain.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga tidak menolak kemungkinan bahawa varian itu itu juga lebih mudah merebak.

“Varian Omicron Covid-19 menular lebih pantas daripada varian lain, ia juga kemungkinan besar lebih mudah merebak.

“Varian ini berkemungkinan akan menyebabkan risiko lebih tinggi jangkitan semula berbanding VOC lain,” kata dalam sidang media KKM, hari ini.

Menurut Khairy, varian berbahaya ini telah dikesan di 20 buah negara yang mana 18 daripadanya adalah kes import.

Negara-negara itu adalah Afrika Selatan 128 kes, Botswana (19), Belanda (12), Portugal (13), United Kingdom (9), United Kingdom (9), Hong Kong SAR China (5), Jerman (5), Israel (4), Austria (4), Itali (4), Brazil (2), Jepun (2), Kanada (2), Denmark (2), masing-masing 1 di Sepanyol, Perancis, Belgium, Sweeden.

Dalam pada itu Khairy berkata, gejala serta komplikasi akibat varian Omicron masih belum diketahui, begitu juga sama ada ia menyumbang kepada peningkatan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Apa yang kita belum tahu sehingga sekarang adalah sama ada varian baru ini menyebabkan gejala dan komplikasi yang lebih teruk dan sama ada keberkesanan vaksin sedia da adalah kurang terhadap varian tersebut,” katanya.

Sebagai langkah pengawalan, Khairy juga berkata kerajaan akan melaksanakan penutupan sementara autogate (pintu automatik) di Jabatan Imigresen bagi mengenalpasti individu daripada negara yang dilarang memasuki negara ini.

“Penggunaan sistem “autogate” Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberhentikan sementara. Arahan ini berkuatkuasa serta merta.

“Penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui KLIA sahaja.

“Pihak MAHB perlu menyediakan “gate” Khas bagi penerbangan tersebut,” katanya lagi.

Katanya, syarikat penerbangan seharusnya bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan yang menaiki penerbangan mereka.

Malah syarikat penerbangan juga digesa untuk menyediakan laluan khas kepada pengembara yang telah dikenal pasti tiba dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron untuk proses saringan kesihatan.

Turut ditangguhkan kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terlibat varian Omicron.

Selain itu, pelancong dari negara-negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron tidak dibenarkan untuk menjalani program gelembung perlancongan antarabangsa ke Langkawi.

Malah mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari juga tidak dibenarkan menyertai program ini.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk KLIA dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif Covid-19 VOC Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” jelas Khairy lagi. – MalaysiaGazette