Home Ekonomi Pembukaan KL ATTC bantu jimat bahan api RM1 bilion setahun

Pembukaan KL ATTC bantu jimat bahan api RM1 bilion setahun

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan) menurunkan tandatangan pada Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

SEPANG – Pembukaan Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur baharu di KLIA Sepang hari ini memendekkan laluan penerbangan, sekali gus  menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak RM1 bilion setahun.

Menteri Penangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kompleks serba canggih dan luas itu membolehkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaksanakan struktur baharu ruang udara Kuala Lumpur Flight Information Region (KLFIR) kepada 14 sektor berbanding tujuh sektor sebelum ini.

“Malah KLATCC baharu ini juga dapat meningkatkan pergerakan pesawat di KLIA dan klia2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan secara serentak berbanding hanya 84 pergerakan sejam menggunakan dua landasan sebelum ini.

“Dan jika dibandingkan dengan KL ATCC Subang sebelum KLIA siap dibina, pusat kawalan itu hanya mampu menampung kapasiti maksimum sebanyak 38 pergerakan pesawat sejam di Lapangan Terbang Subang,” katanya pada sidang media selepas majlisi perasmian Kompleks KL ATCC itu di sini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2021.

Perasmian kompleks itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut dihadiri Ketua Pengawai Eksekutif CAAM, Chester Voo.

Dengan peningkatan kapasiti pergerakan pesawat,  ia memberi kelebihan kepada sektor penerbangan di Malaysia dan menjadi penyumbang sumber ekonomi kepada negara.

Ujarnya, kompleks KL ATCC Sepang juga dapat memberi faedah serta keselesaan kepada
seluruh kakitangannya yang sebelum ini telah berkhidmat di bangunan lama yang serba kekurangan dan usang di Subang sebelum ini.

“Kemudahan serba lengkap dan moden ini dapat membantu meningkatkan kecekapan petugas-petugas ATC untuk berdepan dengan pelbagai situasi tidak menentu dalam sektor penerbangan di negara ini pada masa akan datang,” tambah beliau.

Malah jelas Ka Siong, kompleks baharu ini juga dilihat sebagai penanda aras kepada usaha serta inisiatif yang telah dan bakal dilaksanakan oleh Malaysia terutamanya dari segi pembangunan sektor penerbangan yang dijangka akan berkembang pesat pada masa hadapan.

Kemudahan baharu ini  telah mempersiapkan sektor penerbangan negara untuk berhadapan dengan perkembangan serta kemajuan dalam bidang pengangkutan udara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Justeru, pembinaan kompleks ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada sektor penerbangan dalam negara malah ia juga boleh dijadikan contoh serta panduan kepada sebarang usaha pembangunan dan penambahbaikan sektor penerbangan di negara-negara lain terutamanya dalam rantau Asia Tenggara,” ujarnya.

Ka Siong berkata, sebelum wujudnya bangunan KLATCC di Subang, kakitangan ATC ini terpaksa melaksanakan tugas mereka di Terminal Lapangan Terbang Subang sebelum dipindahkan sementara ke Balai Bomba Lapangan Terbang Subang susulan kebakaran yang memusnahkan terminal tersebut.

Ka Siong menambah, dengan adanya KL ATCC ini,  operasi kawalan trafik udara Subang akan ditutup sepenuhnya secara serta-merta.

Kompleks baharu KL ATCC KLIA Sepang ini  bukan sahaja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung Malaysia, malah turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat serta Pusat Koordinasi Pengurusan Ruang Udara Bersama atau JAMCC. – MalaysiaGazette