KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka memaklumkan kepada Kabinet mengenai keputusan perbincangannya dengan Singapura berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pada Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, hala tuju projek itu hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri.
“Apa yang berlaku ialah kenyataan dibuat selepas itu dan kita belum ada Mesyuarat Jemaah Menteri lagi. Jadi pada hari Jumaat saya jangkakan PM akan beritahu kepada Kabinet tentang hasil pertemuan empat mata di antara PM Singapura,” katanya menjawab soalan mengenai perkembangan terkini mengenai projek berkenaan di dalam Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ka Siong berkata, tiada tempoh masa khusus ditetapkan antara kedua-dua Perdana Menteri itu untuk membincangkan mengenai hala tuju projek berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR walaupun kedua-dua negara itu telah bersetuju untuk menamatkan projek berkenaan sebelum ini.
Untuk rekod pada 1 Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.
Kerajaan kemudian mengumumkan membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung untuk pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.- MalaysiaGazette