KUALA LUMPUR – Pemberian cuti khas di Wilayah Persekutuan susulan kemenangan KL City FC pada perlawanan Piala Malaysia Selasa lalu mendapat kritikan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang menganggap ia adalah sesuatu yang tidak wajar.
Ini kerana katanya, pengumuman oleh Menteri Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu menyusahkan banyak pihak lebih-lebih lagi kebanyakan pelajar sekolah ketika ini sedang menghadapi peperiksaan.
Beliau berkata, adalah lebih baik jika pemain-pemain pasukan berkenaan diberikan hadiah sebagai menghargai usaha mereka untuk merebut piala yang dinantikan sejak berpuluh tahun daripada mengumumkan cuti peristiwa tersebut.
“Tidak semua orang minat dengan bola sepak dan tidak sesuai kalau menteri mengumumkan untuk memberikan cuti ini.
“Saya rasa adalah lebih baik jika pemain-pemain itu diberikan sahaja hadiah sebagai ganjaran kepada mereka seperti memberikan wang tunai RM1 juta setiap seorang atau sebagainya.
“Nasib baik Parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat, kalau tidak kita semua kena bercuti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mengisytiharkan cuti pada Jumaat susulan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Katanya, pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Wilayah Persekutuan.
KL City merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final. – MalaysiaGazette