Home Ekonomi Kos ECRL kekal RM50 bilion

Kos ECRL kekal RM50 bilion

Wee Ka Siong berucap pada majlis penyerahan dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) projek pembinaan ECRL.

KUALA LUMPUR – Kos pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kekal RM50,27 bilion selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mencapai persetujuan saling menguntungkan bagi pembinaan projek tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kos itu mengambil kira kejuruteraan rel yang kompleks di atas rupa bentuk mukabumi yang berbukit dan lintasan sungai yang lebar,

”Anggaran kos RM50.27 bilion ini mengambil kira kerja-kerja terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer  serta Terowong Serendah sepanjang 14.10 kilometer  dan gerudi dua buah mesin penggorek bagi Terowong Genting dengan diameter 8.98 meter setiap satu.

”Kerja-kerja ini adalah yang terbesar pernah digunakan untuk penggalian terowong rel di Malaysia dan akan menembusi kawasan berbukit di sepanjang kawasan Bukit Tinggi antara Bentong dan Gombak dengan kedalaman sedalam 750 meter daripada puncak tertinggi,” katanya dalam majlis penyerahan dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) projek pembinaan ECRL hari ini.

Menurut Ka Siong,  keputusan Negeri Selangor yang bersetuju memuktamadkan serta menerima cadangan jajaran asal Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memudahkan perincian semula kontrak kejuruteran, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek ini.

Kontrak EPCC yang akan diperincikan ini akan mempermudahkan pelaksanaan pembinaan ECRL yang telah ditambah baik berdasarkan jajaran asal ECRL yang dilancarkan pada Ogos 2017.

Tambahnya, anggaran kos ECRL ini juga akan merangkumi rolling stock ECRL apabila beroperasi kelak, terdiri daripada set electric multiple unit (EMU) untuk penumpang dan lokomotif serta gerabak untuk perkhidmatan kargo.

Terowong Serendah pula akan dibina untuk jajaran ECRL bagi mengelak kawasan tadahan air Empangan Batu dan mengurangkan impak sosial antara kawasan Gombak dan Serendah.

Jajaran Utara ECRL ini akan memasukkan ‘Serendah Bypass’ yang amat diperlukan untuk perkhidmatan rel KTMB ke dalam skop projek ECRL, yang mana landasan berkembar yang terdiri daripada landasan Tolok Meter dan landasan Tolok Standard akan dibina antara Serendah dan Pelabuhan Klang.

Projek ini akan merangkumi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Penjajaran ECRL kepada jajaran asal untuk Seksyen C projek ECRL juga akan menyaksikan infrastruktur rel ini melintasi Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui laluan utama Bentong, Gombak dan Serendah.

Menurut beliau, jajaran asal ECRL di Selangor didapati lebih berdaya saing bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi dapat mengurangkan impak alam sekitar dan sosial.

”Keputusan Kerajaan Selangor ini akan merealisasikan pembinaan 665 kilometer jajaran ECRL yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan sebanyak 127 kilometer.

”ECRL akan mempunyai 20 buah stesen merentasi 4 buah negeri yang terdiri daripada 10 stesen khusus untuk penumpang dan 10 stesen lagi adalah gabungan kemudahan penumpang dan kargo,” tambah beliau.

Kata Ka Siong, projek ECRL ini sebahagian daripada inisiatif Belt and Road (BRI) China yang akan menjadi jambatan darat yang akan menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia serta memacu pertumbuhan yang diharapkan dapat merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Penjajaran ini akan menjadikan ECRL infrastruktur yang berdaya maju sejajar dengan nisbah hasil 70 peratus perkhidmatan kargo dan 30 peratus perkhidmatan penumpang.

Atas faktor ini, jajaran asal ECRL yang ditambah baik akan memasukkan landasan dwi tolok kira-kira 30 kilometer dari stesen ECRL Jalan Kastam ke kawasan
pelabuhan Northport dan Westports.

Landasan dwi tolok tambahan akan menjadi komponen utama untuk sambungan jarak jauh dan membuka jalan kepada ECRL untuk melengkapkan jambatan darat yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan di pantai timur dan Pelabuhan Klang di pantai barat Semenanjung Malaysia.

” Perubahan kepada aajaran asal juga selaras dengan penyelidikan industri rel yang menganggarkan ECRL akan mengangkut lebih banyak kargo dan penumpang sekiranya melalui jajaran utara yang akan melalui kawasan perindustrian dan kediaman sedia ada yang akan memenuhi statistik unjuran pendapatan ECRL bila beroperasi kelak.

”Ia juga akan menghubungkan terus penumpang dari pantai timur ke ITT Gombak yang merupakan pintu masuk ke Kuala Lumpur dan juga sebaliknya. Perjalanan dari Kota Bharu ke ITT Gombak dan sebaliknya pula dijangka mengambil masa hanya 4 jam menggunakan ECRL, berbanding purata 7 jam melalui jalan darat atau sehingga 12 jam semasa musim perayaan.

”Pembinaan ECRL juga dijangka memacu lagi pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan yang termasuk profesional, pekerja mahir dan pekerja am untuk aktiviti berkaitan pembinaan,” ujar beliau.

Beliau yang melahirkan rasa gembira dan kesyukuran dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang bersetuju menerima cadangan jajaran asal percaya keputusan ini adalah situasi menang-menang kerana dapat merealisasikan pelaksanaan ECRL yang telah dianggap sebagai game changer ini.

ECRL adalah projek berimpak tinggi yang akan mengurangkan masa perjalanan dengan ketara dan menjadi penggerak kepada aktiviti limpahan ekonomi bagi negeri-negeri Pantai Timur.

Ia juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan yang akan merangsang pelaburan, aktiviti komersial, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan aktiviti pelancongan dan kemudahan pendidikan berkualiti di sepanjang jajarannya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Line ph lalui negeri sembilan tapi line umno lalui gombak . Nasib lah kerajaan berubah line ecrl pun turut berubah

Comments are closed.