Home Utama Tanah runtuh Simpang Pulai : Identiti mangsa dikenal pasti

Tanah runtuh Simpang Pulai : Identiti mangsa dikenal pasti

Keadaan tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands).

IPOH – Identiti pemandu lori sayur yang terperangkap dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) petang tadi, sudah dikenal pasti.

Usaha mengeluarkan mangsa, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, kini sedang giat dijalankan oleh pihak bomba.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori itu dalam perjalanan membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Usaha mengesan dan mengeluarkan mangsa teperangkap giat dilakukan.

Katanya, pasukan penyelamat sudah mengesan kedudukan lori berkenaan dan usaha mengeluarkan mangsa tersepit sedang dijalankan.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa belum diketahui dan usaha menyelamatkannya sedang dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, pasukan penyelamat menggunakan dua buah eskavator untuk mengorek tanah di lokasi kejadian.

“Bantuan jentera sama turut diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands,” kata beliau.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima jam 1.44 petang tadi dengan aggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Maklumat awal mendapati sebuah lori serta sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dikatakan terperangkap di bawah runtuhan tersebut.

“Jumlah mangsa terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini dan kejadian itu juga menyebabkan laluan utama ke Cameron Highlands di kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan,” katanya. – MalaysiaGazette