Home Ekonomi Jualan Proton naik 6.2 peratus pada November, lepasi 100,000

Jualan Proton naik 6.2 peratus pada November, lepasi 100,000

Jualan kereta Proton Holdings Bhd. (Proton) pada Mac meningkat 41.2% bulan ke bulan kepada 13,028 unit untuk menguasai pasaran sebanyak 19%.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jualan Proton meningkat 6.2 peratus kepada 14,187 unit pada November 2021 daripada angka pada bulan sebelumnya, sekali gus menjadikan jualan bagi 2021 setakat ini sebanyak 100,566 unit, melepasi paras 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut.

Prestasi Proton pada November 2021 secara terperinci adalah pertumbuhan tiga bulan berturut-turut, dengan berbaki sebulan lagi sebelum tahun ini berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, melepasi 100,000 unit dengan tempoh berbaki sebulan lagi merupakan pencapaian yang baik untuk pihaknya selepas mengalami gangguan pandemik Covid-19.

“Kami yakin dapat mengakhiri tahun ini dengan peningkatan jumlah jualan. Ini akan menjadikan kami jenama nasional tunggal yang meningkat dari segi jualan dan pegangan pasaran tahun ini.

“Ini memberikan kami asas yang kukuh menuju 2022 untuk melakukan proses konsolidasi dan meningkatkan kedudukan kami di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Proton, November merupakan bulan aktif bagi industri automotif Malaysia dengan pelancaran model-model baharu serta laporan mengenai lanjutan insentif tempoh bebas cukai yang memberikan keterujaan bagi pembeli kereta.

Isu bekalan komponen terus menjadi perhatian semua pembuat kenderaan namun keseluruhannya, jenama dengan jumlah unit yang mencukupi akan berada pada tahap yang selesa, jelas pembuat kereta nasional itu.

Saga mencatatkan jualan bulanan terbaik sejak Disember 2020 dengan 5,666 unit dan ini memberikan peluang untuk model tersebut sekali lagi muncul di tangga teratas jualan model terbaik di Malaysia yang kali terakhir dipegangnya pada September lepas.

Ia juga kekal sebagai juara sedan segmen-A, satu kedudukan yang diharapkan dapat dikekalkan sehingga akhir 2021, tambahnya.

“Tidak ketinggalan, Proton X50 merekodkan penyerahan kepada pelanggan yang cemerlang pada November apabila 4,010 unit diserahkan. Ini merupakan peningkatan yang baik berbanding 3,839 unit pada Oktober, menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) pintar segmen-B sebagai jualan terbaik bagi kelasnya dan bagi segmen SUV.

“Proton X70 juga terus berhasil dari segi jualan dengan 1,901 unit dihantar kepada pelanggan, menjadikannya jauh lebih ke hadapan dalam kelas SUV segmen-C,” menurut Proton. – MalaysiaGazette