KUALA LUMPUR – Persaingan bagi kategori Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) tidak kurang rancak apabila tiga pemain iaitu Faisal Abdul Halim, Darren Lok dan Arif Aiman Hanapi tersenarai dalam tiga calon terakhir.
Ketiga-tiga pemain dilihat mempunyai peluang seimbang untuk menggondol anugerah ini berdasarkan prestasi serta sumbangan bersama pasukan masing-masing.
Salah seorang calon iaitu Darren, tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk dinobatkan selaku penyerang terbaik sebaliknya sudah berasa gembira apabila mengetahui dirinya berada dalam senarai pencalonan akhir.
“Sudah tentu satu perasaan yang sangat bermakna apabila diberi pengiktirafan tersenarai antara calon penyerang terbaik selepas dengan apa yang saya lakukan sepanjang musim ini.
“Namun di sebalik pencalonan ini, saya mahu ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PJ City kerana telah memberikan peluang saya untuk beraksi sepanjang musim 2021.
“Satu musim yang sangat cemerlang buat pasukan dengan kejayaan menamatkan cabaran di tempat ketujuh Liga Super dan saya tidak mungkin berada dalam senarai pencalonan tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan.
“Jurulatih, P. Maniam telah meletakkan harapan yang tinggi kepada saya dan itu sangat penting kepada saya sebagai pemain bola sepak.
“Diharapkan saya dan pemain-pemain lain di PJ City mampu meneruskan musim yang lebih gemilang bagi musim akan datang,” katanya.
Darren, Faisal dan Arif Aiman adalah tiga calon terakhir di antara 10 calon bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik yang disaring oleh Ahli Jawatankuasa Saringan ABK21 serta hasil undian daripada 23 Ketua Jurulatih, 23 Kapten pasukan Liga Malaysia 2021 dan 23 wakil media yang ditutup pada 21 November 2021.
Musim lalu, anugerah penyerang terbaik diraih Shahrel Fikri Fauzi yang bermain untuk Perak dengan Norshahrul Idlan Talaha masih memegang pemain yang paling banyak memenanginya iaitu sebanyak tiga kali (2010, 2011, 2012).
Sementara itu, Darren merasakan peluang dua penyerang muda, Faisal dan Arif dilihat lebih cerah untuk memenangi gelaran Penyerang Terbaik pada ABK 2021.
Tambahnya, mereka berdua telah membuktikan prestasi yang cukup cemerlang sepanjang musim ini dan lebih layak untuk menang berbanding dirinya.
“Saya rasa lebih ramai layak untuk menang jika dilihat pada senarai pencalonan awal tetapi mereka berdua antara yang terbaik.
“Mereka berdua telah menunjukkan prestasi yang sangat hebat dan tanpa sebarang keraguan, sama ada Faisal atau Arif, salah seorang dari mereka dijangka akan memenanginya,” katanya.
Majlis ABK21 akan disiarkan secara langsung menerusi unifiTV hari ini pukul 9 malam. – MalaysiaGazette