Home Nasional Banjir di Terengganu: 140 mangsa dipindahkan di tujuh PPS

Banjir di Terengganu: 140 mangsa dipindahkan di tujuh PPS

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Hari ketiga banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa tidak banyak berubah dengan hanya sedikit peningkatan kepada 140 orang daripada 54 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 135 orang daripada 44 keluarga petang semalam.

Besut menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir di Terengganu apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka lewat petang semalam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu yang menempatkan 10 mangsa (empat keluarga).

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, terdapat tujuh PPS beroperasi ketika ini iaitu empat di Setiu, Kuala Nerus (dua) dan Besut (satu).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat 7.45 pagi ini.

Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, Empangan Tembat mencatatkan 430.49m berbanding paras amaran 430m.

Kebanyakan daerah ketika ini hujan dan lebat di sesetengah kawasan. – Bernama