Home Ekonomi Bursa dijangka bertambah baik disokong belian saham berharga rendah

Bursa dijangka bertambah baik disokong belian saham berharga rendah

Bangunan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih baik minggu depan disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah memandangkan penilaian rendah di pasaran ekuiti tempatan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan antara paras 1,500 dan 1,520 minggu depan.

“Dari segi teknikal, kami mengunjurkan paras sokongan pada 1,490 manakala paras ketahanan pada 1,520,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu yang baru berakhir ini, Jabatan Perangkaan mengumumkan eksport Malaysia yang lebih tinggi pada Oktober yang meningkat  25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM114.4 bilion, dipacu oleh eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM91.3 bilion dan menyumbang 79.8 peratus kepada jumlah eksport yang meningkat sebanyak 23.3 peratus.

Import juga merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 21.8 peratus kepada RM801.2 bilion.

Jumlah perdagangan dari Januari hingga Oktober 2021 berkembang sebanyak 23.5 peratus kepada RM1.8 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2020, kata jabatan itu.

Keseluruhannya, bursa tempatan diniagakan bercampur-campur semasa minggu dagangan pendek ini di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang berkaitan dengan varian baharu Omicron COVID-19 yang berpotensi membawa kepada pelaksanaan semula sekatan pergerakan penuh di beberapa negara dan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global.

Bagi asas Khamis ke Jumaat, Indeks petunjuk pasaran itu susut 10.48 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,501.74 daripada 1,512.22 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 140.22 mata kepada 10,938.91, Indeks FBMT100 susut 116.90 mata kepada 10,645.75, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 125.84 mata kepada 11,914.90, FBM 70 jatuh 324.58 mata kepada 14,130.03, manakala FBM ACE turun 49.73 mata kepada 6,413.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 167.56 mata kepada 14,976.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.24 mata kepada 192.97 dan Indeks Tenaga susut 18.77 mata kepada 692.49.

Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat sebanyak 23.06 mata kepada 2,364.79 dan Indeks Teknologi turun 2.55 mata kepada 95.92. Bagaimanapun, Indeks Perladangan menokok 10.37 mata kepada 6,475.41.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19.19 bilion unit bernilai RM18.98 bilion berbanding 16.90 bilion unit bernilai RM12.34 billon pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 12.04 bilion saham bernilai RM17.06 bilion daripada 10.88 bilion saham bernilai RM10.64 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.49 bilion unit bernilai RM215.84 juta berbanding 1.63 bilion unit bernilai RM641.47 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 5.63 bilion saham bernilai RM1.70 bilion berbanding 4.36 bilion saham bernilai RM1.39 bilion.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat susulan cuti umum bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena meraikan kemenangan pasukan Kuala Lumpur City FC dalam kejohanan Piala Malaysia pada Rabu. – MalaysiaGazette