KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuka lebih banyak peluang kepada warga profesional teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar kerana negara mempunyai ramai bakat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi melalui
pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Tambah beliau, sudah terbukti bakat tempatan diiktiraf di luar negara seperti Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat, Fakhirah Khairuddin bersama Jurutera Struktur, Pakar Reka bentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman, Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid
“Bagi sektor awam, Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan, contohnya JKR yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.
“Sebagai contoh terbaik, JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (B-I-M), I-Supervision dan EPerolehan dalam pelaksanaan projek.
“Ini pastinya sebagai pemangkin serta enabler kepada pelaksanaan teknologi I-R4.0 yang berimpak tinggi seperti 3D Printing, I-o-T, Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality,” beliau berkata demikian ketika perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, secara maya, hari ini.
Tambah Ismail Sabri, tanggapan kononnya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ialah pilihan kedua dan hanya layak untuk individu kurang cemerlang daripada segi pencapaian akademik adalah stigma lapuk.
Katanya, TVET kini kian mendapat perhatian oleh majikan, sekali gus menyaksikan ia kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Oleh itu, kita perlu memastikan para pekerja dalam bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.
“Kita juga perlu realistik dengan kemampuan anak-anak Malaysia untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia seantero dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette