KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertimbangkan kebenaran import ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh Disember 2021 hingga Februari 2022 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Oleh itu, syarikat yang berhasrat untuk mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku. Kebenaran pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Kebenaran mengimport ayam bulat ini adalah bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan.
”MAFI akan memastikan kuantum import hanyalah untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa untuk tempoh tertentu sahaja.
”Langkah intervensi yang diambil kerajaan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dalam memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan dan pada masa yang sama kebajikan penternak ayam tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan langkah intervensi ini bagi memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
MAFI berkata, kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang
mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula bulan Oktober 2021.
Berdasarkan penelitian MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), negara berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dalam
pasaran secara purata sebanyak 18% bagi bulan Oktober serta November 2021 dan diunjurkan keadaan yang sama akan berlarutan ke bulan Disember 2021.
Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan.
Keadaan ini juga telah menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga RM10 bagi satu kilogram (kg) di pasar basah dan pasar raya. – MalaysiaGazette