Home Seni Hidup Isma sasar RM1 juta untuk Tabung Anak Yatim Covid-19

Isma sasar RM1 juta untuk Tabung Anak Yatim Covid-19

BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mensasarkan kutipan RM1 juta bagi Tabung Anak Yatim Covid-19 untuk disumbangkan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, projek ini julung kali diadakan sebagai salah satu usaha selaku gerakan Islam yang mahu menyuburkan budaya takaful di dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Jelasnya, objektif utama tabung ini diwujudkan bagi memberi bantuan kewangan kepada kanak-kanak ini untuk meneruskan persekolahan sehingga berumur 18 tahun.

Selain itu, ia bagi meringankan kos sara hidup anak-anak yatim dan memberi sokongan emosi dan semangat kepada mereka melalui program-program motivasi secara berkala agar kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Dianggarkan kira-kira 5,000 orang kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma, Asma Ahmad berkata, kutipan dana ini telah dibuka melalui platform Facebook bermula awal November lalu.

Dana akan mula diagihkan kepada anak-anak yatim yang terpilih dalam masa terdekat melalui wakil ISMA di setiap negeri.

Katanya, Isma menyediakan empat pakej tajaan untuk anak-anak yatim iaitu Pakej Firdaus, Pakej Adnin, Pakej Naim dan Pakej Ma’wa.

”Melalui pakej ini, kami berharap sangat agar anak-anak yatim ini dapat dibantu dari segi perbelanjaan persekolahan dan kos sara hidup,” katanya sambil menaruh harapan inisiatif ini mendapat sambutan daripada masyarakat.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai program ini boleh menyumbang ke akaun Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia, 5622 1820 1823 (Maybank) (Rujukan: AnakYatimCovid https://ezy.la/BantuAnakYatimCovidhttps://ezy.la/BantuAnakYatimCovid)

Manakala individu yang berminat untuk menjadi penaja boleh menghubungi Shahril Mohamad di talian 0137142793. – MalaysiaGazette