KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha dijangkiti Covid-19.
Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin mendedahkan beliau dijangkiti pandemik itu daripada salah seorang kru produksi.
“Hari Khamis, apabila saya dapat tahu dia (orang produksi) positif, saya masih berstatus negatif.
“Tapi saya rasa tak sedap badan dan ada beberapa acara yang perlu dihadiri semalam (Jumaat), jadi saya buat sekali lagi ujian calitan dan keputusan malangnya, positif,” kata Daiyan menerusi Instagram.
Daiyan, 28 kini berkata sedang menjalani kuarantin di rumah dan tidak mengalami simptom yang teruk.
Dalam masa yang sama beliau meminta maaf kepada semua kontak rapatnya.
“Simptom yang saya alami adalah ringan. Migrain, sakit tekak dan pening kepala. Keadaan saya baik, alhamdulillah.
“Saya mohon maaf kepada sesiapa yang telah menjadi kontak rapat dan tolong buat ujian calitan dengan segera.
“Doakan saya cepat sembuh dan dapat bekerja semula sebab saya suka bekerja. Saya bersyukur atas ujian ini dan yakin semua yang berlaku ada hikmahnya,”tambahnya.
Daiyan kini terlibat dalam satu penggambaran drama 20 episod berjudul Bicara Budi.-MalaysiaGazette