Home Nasional Jenazah Allahyarham Sabbaruddin dikebumikan di Bukit Kiara

Jenazah Allahyarham Sabbaruddin dikebumikan di Bukit Kiara

Jenazah Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik yang telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi akibat jangkitan positif Covid-19 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan sekitar pukul 10.15 pagi.

Terdahulu pegawai khas allahyarham, Datuk Zamri Mohamed mengiringi jenazah menaiki van PPUM tiba ke tapak perkuburan terbabit.

Kemudian jenazah arwah telah selamat dikebumikan oleh petugas PPUM dan juga Zamri yang lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sekitar pukul 10.40 pagi.

Selain itu, para petugas dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga hadir ke tapak perkuburan untuk memastikan pengkebumian jenazah  berjalan dengan lancar dan selamat dengan pepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Jenazah Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik diusung petugas KKM berpakaian PPE dan dikebumikan dengan selamat di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara pagi tadi.

Selepas itu, sekitar pukul 10.50 pagi kelihatan kira-kira 10 orang individu terdiri daripada dewasa dan dua kanak-kanak perempuan hadir ke perkuburan allahyarham membaca doa.

Kira-kira 15 minit kemudian, kesemua ahli keluarga allahyarham beredar meninggalkan tapak perkuburan tersebut.

Terdahulu Sabbarudin telah dimasukkan ke PPUM dan menarima rawatan lanjut selama dua minggu selepas disahkan positif Covid-19.

Sekitar jam 8 malam tadi, allahyarham disahkan menghembuskan nafas terakhirnya dan ketika itu Zamri berada di hospital berkenaan untuk mengikuti perkembangan kesihatan beliau.

Ketika ditemui selepas upacara pengkebumian allahyarham, Zamri berkata, pemergian arwah amat mendukacitakannya dan keluarganya.

Jelas beliau, selepas proses pengecaman dibuat oleh anak kandung allahyarham, Fazli Sabbarudin dan juga diri beliau sendiri, jenazahnya telah ditayammum serta disembahyangkan di Masjid PPUM sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

“Saya kenal dan bersama dengan allahyarham lebih 25 tahun sejak bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri dahulu, hari ini dia dalam perjalanan terakhir ke sini (perkuburan) iaitu satu dugaan yang saya rasa sangat besar kehilangannya.

Jenazah Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik diusung petugas KKM berpakaian PPE dan dikebumikan dengan selamat di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara pagi tadi.

“Saya datang teman allahyarham ketika di dalam van jenazah, kami berdua sahaja dan apa yang saya mampu buat adalah sedekahkan al-Fatihah. Ini bermakna tanggungjawab saya di sini sudah selesai, saya akan sentiasa adoakan arwah tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Untuk orang ramai yang kenal beliau (allahyarham) di luar status sebagai ahli Kabinet, ini satu kehilangan kerana arwah diibaratkan sebagai seorang pemimpin yang tak mahu didendang orang,” katanya lagi.

Justeru katanya, allahyarham telah banyak berjasa dan  berprinsip, menepati masa dan mengotakan apa yang dijanjikan.

“Itu perkara baik dan sukar dicari ganti kepimpinan beliau yang turut menyumbang dalam melahirkan rakan-rakan yang berjaya ketika itu.

“Karier saya sebagai pegawai khas allahyarham antara terawal bersama Tan Sri setiap minggu, mungkin kawan-kawan lain sibuk berpolitik tetapi saya sentiasa di sisi arwah sehingga sekarang (saat akhir),” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sabbaruddin Chik meninggal dunia