Home Nasional Pasar Borong Digital Johor diwujudkan elak orang tengah – MB

Pasar Borong Digital Johor diwujudkan elak orang tengah – MB

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- Pasar Borong Digital bakal dibangunkan di negeri itu pada tahun depan bagi membantu pengusaha sektor agro makanan memasarkan produk mereka  secara dalam talian.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ianya akan dibangunkan dengan kerjasama Johor Corporation (JCorp) dan beberapa syarikat swasta yang lain.

Menurutnya, platform itu diyakini boleh mengurangkan penglibatan orang tengah antara pengusaha produk agro makanan dan pengguna.

“Kita dapati peranan orang tengah masih menjadi isu dalam menentukan harga di pasaran, jadi salah satu cara untuk mengelak penglibatan orang tengah ialah dengan kita sendiri mengeluarkan hasil pertanian dan kita juga memasarkan sendiri.

“Ketika ini perkara tersebut masih dalam perbincangan dan ianya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Tahun depan kita dah boleh mulakan dengan membangunkan sistemnya, sebaik sahaja sistem ada kita boleh mulakan jualan dengan produk dalam negara,” katanya  selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil.

Hasni berkata, melaluIi Agenda Johor Tani, kerajaan negeri akan  memperluasan sektor pertanian termasuk program kebun bandar.

“Ini termasuklah galakan menjual produk pertanian secara dalam talian selain menjalin kerjasama dengan pakar pertanian dan pemasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Ketika ditanya berhubung inisiatif kebun bandar, beliau berkata, penduduk bandar raya perlu memanfaatkan tanah kosong dengan melakukan aktiviti pertanian kecil-kecilan termasuk di kawasan kediaman dan tanah terbiar.

“Sebagai contoh, jika ahli jawatankuasa masjid boleh lakukan perkara itu, persatuan kecil juga boleh lakukan dan pastinya program ini akan dapat diperluaskan kepada masyarakat umum,” tambahnya.-MalaysiaGazette