KUALA LUMPUR – Krisis kenaikan harga barang mendadak yang sedang berlaku tidak akan berlanjutan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu ini dan memastikan ia tidak menjadi dilema rakyat untuk tempoh yang panjang.
Bagaimanapun ujar beliau, semua kementerian yang terlibat perlu saling bekerjasama untuk menangani isu berkenaan.
“Saya yakin dengan ketegasan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) krisis kenaikan haega ini dapat diselesaikan dengan cepat.
“Yang penting semua menteri yang terlibat dan pemain-pemain industri yang melibatkan barangan keperluan masyarakat mestilah berganding bahu dan mempunyai matlamat untuk mengawal harga daripada terus naik dan meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Direktori Usahawan Bumiputera Cheras, hari ini.
Dalam pada itu, di peringkat Wilayah Persekutuan, Jalaluddin mengakui wujud peningkatan harga yang berpunca segelintir peniaga menggunakan orang tengah.
“Harga di WP saya tidak kata terkawal tapi sesetengah barangan boleh diterima dan berada dalam kawalan kerajaan.
“Cuma ada segelintir peniaga dari kesisahan rakyat, mengambil kesempatan melalui jualan orang tengah. Ini yang kita kenal pasti sekarang,” tambahnya.
Namun, beliau memberi jaminan tidak akan bergantung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sahaja untuk membuat pemantauan dalam kalangan-kalangan peniaga.
Baru-baru ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari penyelesaian terhadap kenaikan harga barang. -MalaysiaGazette