Home Pendapat Realitinya, OKU sukar mendapat akses

Realitinya, OKU sukar mendapat akses

Gelagat kanak-kanak golongan orang kelainan upaya (oku) yang hadir pada Program Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia Sempena Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

PANDEMIK Covid-19 memberikan pelbagai kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pelbagai golongan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Dalam proses menuju endemik Covid-19, penjagaan kendiri dan kepatuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 harus terus diberikan perhatian khusus dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 agar kesan negatifnya kepada lebih 600,000 OKU di negara dikurangkan.

Dalam aspek pembangunan masyarakat dan negara, kelompok Belia memainkan peranan signifikan sebagai pemimpin masa kini dan masa hadapan. Justeru, kelompok belia harus diberikan pendedahan, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan berorganisasi yang berupaya mempersiapkan diri mereka mengemudi pembangunan masyarakat dan negara.

Justeru, kesiapsiagaan kelompok Belia OKU harus diperkasakan selaras dengan agenda besar untuk terus mengupayakan dan memperkasakan OKU seperti yang digariskan dalam Dasar Orang Kurang Upaya yang menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Belia OKU adalah golongan berpotensi untuk terus digilap agar tradisi kepimpinan dikalangan OKU terus diperkasakan.

Menurut Brennan, Barnett dan Lesmeister (2007), penglibatan belia bersama pembangunan masyarakat merupakan kunci pemangkin kendiri individu itu menjadi menjadi pemimpin berwawasan dan efektif kerana didedahkan dengan kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Justeru itu, Belia OKU wajar didedahkan dengan organisasi berpersatuan untuk membolehkan kemahiran-kemahiran ini dikuasai dan mendapat proses bimbingan daripada pembimbing Belia yang berkepakaran dalam soal kemasyarakatan serta OKU.

Keseinambungan pergerakan pertubuhan OKU dan suara advokasi OKU berkait rapat dengan pembangunan potensi Belia OKU. Selaras dengan tema Hari OKU Sedunia tahun 2021, Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19. Penekanan kepada aspek kepimpinan dan libat urus OKU dalam aspek pembuatan dasar adalah sangat penting kepada pembangunan OKU. Sebagai pemegang taruh utama dan pihak yang mengalami kesan langsung terhadap sebarang aspek berkaitan hal ehwal OKU dari dasar atau perlaksanaan pihak kerajaan mahupun swasta, suara dan penglibatan golongan OKU haruslah diambil berat.

Penubuhan Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU) pada 19 Julai 2021 merupakan suatu langkah penting ke arah usaha untuk terus memperkasakan segmen Belia, khususnya kelompok Belia Minoriti iaitu Belia OKU. Pendedahan dalam soal kepimpinan dan pengurusan organisasi serta perencanaan program yang memfokuskan kepada dasar pemerkasaan berbanding pendekatan bersifat simpati dan kebajikan kepada OKU adalah teras yang digarapkan oleh MBOKU.

Menyedari hakikat ini, isu-isu mengenai OKU hendaklah mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada pendekatan berasaskan hak. Anjakan ini memenuhi saranan PBB berhubung konsep tiada diskriminasi.

Ketidakupayaan bukanlah semata-mata disebabkan kefungsian individu yang terbatas, tetapi juga merangkumi kekurangan kemudahan yang disediakan yang menjadi penghalang penyertaan OKU dalam masyarakat. Kerancakan program dari sudut pandang kebajikan semata-mata  kepada OKU dilihat lebih memberikan kesan buruk kepada golongan OKU yang harus diperkasakan bukan sekadar disogok terma elaun sara diri atau bantuan bulanan semata-mata.

Realitinya dekad ini memaparkan kesukaran kelompok Belia OKU untuk mendapatkan jaminan pekerjaan, akses pendidikan serta akses latihan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kemampuan. Ketidakpadanan pekerjaan yang ditawarkan dengan kelulusan Belia OKU juga turut berlaku bahkan isu pengangguran dikalangan Belia Minoriti seperti Belia OKU seharusnya ditangani sebaik mungkin dengan mempergiatkan lagi skim ‘place and train’ dan transisi pekerjaan bagi Belia OKU dalam bidang kemahiran. Selain itu, penempatan Belia OKU yang berkelayakan dalam sektor kerajaan mahupun swasta haruslah dilihat berasaskan kemahiran yang dimiliki bukan dinilai berdasarkan kekurangan keupayaan fizikal mereka semata-mata.

Stigma negatif masyarakat inilah yang terus merantai dan membelenggu perkembangan OKU di negara. Justeru, pemerkasaan OKU bukan sekadar dilihat dari aspek kebajikan, kita harus melihat aspek pembangunan OKU itu bermula dari intervensi awal, transisi persekolahan, transisi ke pendidikan tinggi dan seterusnya mewujudkan sokongan pekerjaan serta kemahiran hidup berdikari yang bersesuaian dengan tiap segmen ketidakupayaan.

Peranan Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) KPWKM, Bahagian Pembangunan Belia KBS serta pendekatan rentas kementerian harus diselaraskan bersama dalam aspek pembangunan OKU serta Belia OKU. Strategi Pembangunan OKU Nasional harus dilaksanakan untuk menggerakkan agenda dokumen rujukan seperti Pelan Tindakan OKU 2016-2022, Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD), Dasar Pengambilan Pekerja OKU dan lain-lain. Perlu adanya mekanisme semak imbang dan pelaporan yang boleh diakses oleh orang awam agar segala inisiatif yang dirangka dapat dilaksanakan dan membolehkan ‘Civil Society Organization (CSO) turut sama-sama memainkan peranan dalam menyokong agenda pembangunan dan pemerkasaan OKU negara.

Tuntasnya, semangat berorganisasi adalah antara teras yang harus diperkasakan dan disemai dalam kalangan Belia OKU untuk memastikan kelestarian perkembangan tradisi kepimpinan dan pembangunan golongan OKU negara sekali gus mereka menjadi agen pemangkin inklusitiviti dalam citra Keluarga Malaysia kita yang tercinta.

Oleh: Mohd Faiz Shuhaimi
Presiden Majlis Belia OKU Malaysia
Exco Majlis Belia Malaysia