Home Ekonomi Pelabur asing lupus RM550.9 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing lupus RM550.9 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu berakhir pada 3 Disember, yang menyaksikan aliran keluar bersih berjumlah RM550.90 juta pada minggu dagangan singkat berikutan cuti pada hari Jumaat disebabkan oleh KL City dalam Piala Malaysia.

Ini adalah minggu kedua pelabur asing melakukan aliran keluar selepas tujuh minggu aliran masuk.

MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula Isnin lepas, pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit, peruncit masing-masing adalah penjual bersih, berjumlah RM41.55 juta dan RM4.97 juta.

Sementara itu, pelabur asing adalah pembeli bersih sebanyak RM46.53 juta.

Pelabur asing adalah penjual bersih untuk setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Isnin.

Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM263.83 juta.

Manakala pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari kecuali hari Isnin.

Belian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM164.57 juta dan satu-satunya jualan bersih sebanyak RM4.97 juta.

Bagi minggu itu, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM394.39 juta di Bursa Malaysia, kata firma penyelidikan itu.

Sementara itu, pelabur institusi pula merekodkan belian bersih mingguan terkumpul sebanyak RM156.52 juta.

Pelabur institusi adalah pembeli bersih untuk semua hari dalam seminggu kecuali pada hari Isnin.

Belian bersih terbesar pada hari Rabu berjumlah RM99.26 juta, manakala aliran masuk bersih terkecil pada Khamis berjumlah RM29.58 juta.

Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM12.09 bilion.

Pelabur institusi dan pelabur asing pula adalah penjual bersih masing-masing pada sebanyak RM9.69 bilion dan RM2.40 bilion. – MalaysiaGazette