Home Nasional BMS 2021 terima deposit RM175 juta setakat Oktober 2021

BMS 2021 terima deposit RM175 juta setakat Oktober 2021

PTPTN discount National Higher Education Fund Corporation
PTPTN

KUALA LUMPUR – Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diadakan sepanjang bulan Oktober 2021 bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Menurut PTPTN, program ini telah diadakan di peringkat nasional dan negeri secara maya melalui media sosial rasmi PTPTN.

Pelbagai program dan pertandingan telah berlangsung yang disertai oleh ibu bapa dan anak-anak.

PTPTN berkata, tahun 2021 merupakan tahun keempat PTPTN menganjurkan BMS dan akan diteruskan setiap tahun bagi membuktikan komitmen PTPTN yang tidak pernah jemu mempromosikan dan menghebahkan informasi mengenai produk Simpan SSPN kepada semua lapisan masyarakat di seluruh Malaysia.

Ia selaras dengan matlamat di dalam Teras Strategik Pertama, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Walaupun tahun 2021 merupakan antara tahun yang mencabar dengan suasana ekonomi yang kurang memuaskan dan pelbagai tekanan yang diterima akibat penularan wabak Covid-19, namun masyarakat Malaysia masih menitik beratkan budaya menabung.

Pelaksanaan BMS ini adalah antara salah satu pendekatan yang digunakan untuk membudayakan sikap menabung dengan mengadakan pelbagai inovasi seperti pelaksanaan program dan aktiviti yang terarah kepada tabungan agar menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

BMS 2021 yang bermula pada 1 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021 lalu mencatatkan kejayaan dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM175 juta atau 159% berbanding sasaran awal sebanyak RM110 juta.

Kejayaan terimaan deposit Simpan SSPN yang dicatatkan jelas menunjukkan bahawa semakin ramai ibu bapa cakna dengan kepentingan membuat penabungan dan perancangan kewangan bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

PTPTN mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia di atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan sikap menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan yang terbaik dalam memulakan langkah bijak untuk menabung di awal usia.

Dengan membuat penabungan melalui Simpan SSPN pelbagai keistimewaan dan manfaat akan diperoleh oleh pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih, dividen yang kompetitif, manfaat perlindungan takaful, pemberian geran sepadan dan patuh syariah. -MalaysiaGazette