Home Nasional Kerajaan Johor harap laluan VTL laut dapat dilaksanakan

Kerajaan Johor harap laluan VTL laut dapat dilaksanakan

Hasni Mohammad (tengah) ketika menghadiri Majlis Pelancaran Perantis Iskandar (IIB) di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri di sini.
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor berharap laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) Laut antara Johor dan Singapura dapat dilaksanakan.
Menteri Besarnya, Datuk Mohammad Hasni berkata, cadangan pembukaan VTL Laut membabitkan perjalanan dua hala di perairan Johor ke Singapura akan dibincangkan Januari depan.
Perkara itu telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob kepada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu pertemuan, baru-baru ini.
Katanya, inisiatif itu akan dipertimbangkan susulan kejayaan VTL Darat ke Terminal Larkin Sentral dan VTL udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
“Perdana Menteri Singapura beri reaksi bahawa perkara itu boleh dipertimbangkan. Perkara ini masih di peringkat perbincangan melibatkan Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) antara kedua-dua negara.
“Kalau di Singapura itu mungkin dari Terminal Feri Tanah Merah, manakala kita di Malaysia di Johor, iaitu di Feri Terminal Desaru Coast.

“Oleh kerana Terminal Feri Desaru Coast sudah siap tetapi belum beroperasi, kita masih lagi menunggu keputusan Khazanah Nasional yang memiliki terminal feri tersebut.

“Sama ada wujud kerjasama dan sebagainya masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Perintis Iskandar di Kompleks Sukan Educity di Kota Iskandar di sini hari ini.

VTL Laut itu nanti akan melibatkan perjalanan dua hala dari Desaru Coast Ferry Terminal (DCFT), Kota Tinggi ke Tanah Merah Ferry Terminal di Singapura.
Mulai 29 November lalu, pengembara rakyat Malaysia dan rakyat republik itu yang lengkap dos suntikan vaksin dibenarkan pulang ke tanah air di bawah inisiatif VTL darat dan udara.
Terdahulu 1,440 pengembara  menggunakan khidmat bas dari Terminal Queen Street ke Terminal Larkin Sentral di sini tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik tiba ke destinasi.
Dalam pada itu, Hasni berkata, jumlah pengembara dan semua perkara berkaitan termasuk prosedur operasi standard (SOP) akan dibincangkan dalam mesyuarat JMC nanti.
Untuk peringkat awal, VTL laut itu hanya melibatkan Singapura serta membabitkan semua sektor.
Malah, rakyat dari kedua-dua negara dibenarkan menggunakannya, tidak terhad kepada pelancong sahaja. -MalaysiaGazette