KUALA LUMPUR – Ketiadaan penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid yang disahkan positif COVID-19 baru-baru ini, pastinya membuka peluang lebih tinggi buat pemain Petaling Jaya City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi untuk tersenarai dalam kesebelasan utama pada Piala AFF di Singapura.
Keterujaan jelas terpancar di wajah penjaga gol berusia 26 tahun itu selepas mendapat panggilan kali kedua menyertai skuad kebangsaan untuk menggalas misi penting dalam kejohanan yang membuka tirai semalam dan dijadual berakhir 1 Jan 2022.
Biarpun belum berpeluang membuat kemunculan pertama buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa, Kalamullah enggan berasa tertekan dengan situasi berkenaan namun tekad memberi fokus sepenuhnya jika mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk diturunkan dalam kejohanan itu.
“Saya tidak mahu berasa tertekan sebaliknya mahu fokus dan tunjuk kebolehan yang saya ada sekiranya diberi peluang mendapat minit permainan nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kalamullah yang mendapat panggilan pertama ke dalam skuad Harimau Malaya hanya memanaskan bangku simpanan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan Okt lepas.
Namun, situasi terkini melanda skuad negara selepas Mohd Khairulazhan terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari selepas disahkan positif COVID-19 menyebabkan Kalamullah hanya perlu merebut tempat dengan pemain berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat untuk menjaga gawang negara sekurang-kurangnya bagi tiga perlawanan mendatang.
Selain Mohd Khairulazhan, pemain sayap lincah dari Terengganu FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, juga diuji positif COVID-19.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan jika ujian selanjutnya itu mendapati kedua-dua pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan berkenaan.
Dalam pada itu, Kalamullah yang menjadikan penjaga gol Manchester United David De Gea sebagai idolanya, yakin rakan sepasukan mampu menampilkan prestasi baik di atas padang seterusnya menepati sasaran untuk layak ke final buat dua edisi berturut-turut, selepas bergelar naib juara pada 2018.
Sementara itu, beliau juga bersyukur diberi tunjuk ajar serta mempelajari banyak teknik berguna untuk memantapkan ketangkasannya menjaga gawang daripada Khairulfahmi dan Mohd Khairulazhan dalam kem latihan pasukan negara menjelang Piala AFF sebelum ini.
Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan B menentang Kemboja di Stadium Bishan pada 5.30 petang ini diikuti Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir (19 Dis). – MalaysiaGazette