Home Pendapat Aplikasi bahasa Melayu di GLC: Siapa yang pantau?

Aplikasi bahasa Melayu di GLC: Siapa yang pantau?

Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan memartabatkan bahasa Melayu.

BARU-baru ini, Perdana Menteri, Datuk’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menggesa
agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengaplikasikan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti persidangan dan mesyuarat.

Teguran ini wajar diambil peduli kerana sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah
memartabatkan bahasa kita sendiri ke persada dunia agar bahasa kita kembali menjadi lingua franca seperti di zaman dahulu kala.

Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menggunakan
Bahasa Melayu sepenuhnya semasa menyampaikan kenyataan negara di Persidangan
Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCCOP-26) di Scotland baru-baru ini patut kita contohi.

Sebagai wakil negara Malaysia ketika itu, beliau telah menunjukkan teladan yang baik untuk anak Malaysia supaya mengangkat dan menjulang Bahasa Kebangsaan walau di mana pun kita berada.

Penekanan ini dapat dilihat di sektor awam, sejak tahun 1987 lagi, menerusi Surat
Pekeliling Am Bil. 8 Tahun 1987 – Gerakan Cintailah Bahasa Kita di Sektor Awam di Peringkat Pusat dan Negeri yang dikeluarkan pada 9 Disember 1987.

Pemerkasaan ini diperkukuhkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, bertarikh 15 Januari 2020, sekali gus membatalkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 – Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Garis panduan telah lama diwujudkan, namun setelah negara melepasi tempoh lebih 60
tahun merdeka isu bahasa Melayu timbul ibarat air pasang surut. Masih suam-suam kuku dari segi pelaksanaannya. Persoalannya hingga bilakah isu ini akan ada titik noktahnya.

Bagi sektor awam telah ada rujukannya. Apakah di peringkat GLC dan sektor swasta telah diwujudkan garis panduan yang boleh dijadikan rujukan untuk mereka mematuhinya. Jika ada, adakah ia dipatuhi?

Pihak yang berwajib perlu bertindak dengan pendekatan yang serius serta memerlukan kehendak politik yang kuat bagi memastikan dasar bahasa kebangsaan ini benar-benar terpateri untuk kita jayakan secara bersama.

Janganlah bertukar kepimpinan politik merubah dasar bagi memperkasakan bahasa Melayu dengan begitu mudah sehingga melemahkan kekuatan Bahasa Kebangsaan kita baik di sektor awam mahupun sektor swasta.

Pada masa ini, kekurangan masih dapat dilihat dalam penguatkuasaan bahasa Melayu di
negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilihat seperti harimau yang tidak mempunyai ‘taring’ atau ‘kuku’ dalam isu ini kerana mereka hanya diberi kuasa untuk menjadi penasihat untuk merancang, menggubal dan menyelaraskan panduan penggunaan bahasa Melayu, namun hak penguatkuasaan diberi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sedangkan mereka bukanlah ahli yang arif dalam bidang bahasa. Adalah disarankan agar DBP diberikan kuasa dari aspek penguatkuasaan penggunaan Bahasa Melayu agar perkembangan dan pemerkasaan bahasa Melayu dapat dijalankan dengan lebih lancar dan agresif.

Oleh itu, sistem penguatkuasaan dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan perlu diteliti semula. Jika bukan kita yang cuba untuk menjulang dan
memartabatkan Bahasa Kebangsaan kita, siapakah lagi?

Daripada,
AAA
Bahasa Jiwa Bangsa.
Cheras, Kuala Lumpur.