KUALA LUMPUR – Gagal meletakkan tanda harga merupakan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL) bermula Januari lalu sehingga hari ini.
Pengarah KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 336 kompaun telah dikeluarkan dengan sejumlah 26,966 premis diperiksa di seluruh ibu negara.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 268 kes melibatkan kegagalan meletak tanda harga, 21 kes menjual barangan melebihi harga terkawal, 46 kes alat timbang tidak ditentusahkan dan satu kes kerana memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga pada barang atau perkhidmatan
Katanya, KPDNHEP WPKL turut menerima sebanyak 6,522 aduan dengan 6,234 daripadanya telah berjaya diselesaikan.
“Paling banyak kita kesan adalah kesalahan tanda harga kerana tanda harga ini kadang-kadang alasan yang diberikan oleh peniaga adalah (mereka) tak perasan.
“Saya bagi contoh makanan, kalau kari kepala ikan peniaga letak harga antara RM45 hingga RM145 tapi bila orang makan di kedai satu kepala ikan dikira RM200.
“Tapi bila kita buat penilaian harga dengan kos tinggi untuk kepala ikan memang berbaloi jual sedemikian tapi sekiranya tanda harga tidak dikemukakan memang (kita) akan kenakan tindakan.
“Tak boleh ambil keuntungan secara berlebihan kerana kita akan tengok semula segala jenis kos sampai lah ia dijual di kedai, kalau didapati melampau memang tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP),” katanya.
Belia berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran dan Walkabout Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) Peringkat WPKL di Lulu Hypermarket hari ini.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, seramai 90 pegawai penguatkuasa dan 83 pegawai pemantau harga sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pasar awam, pasar tani, pasar raya serta kedai runcit.
“Setakat tengah hari ini sahaja sebanyak 112 premis telah di periksa meliputi pemborong-pemborong utama dan pasar awam.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis-premis berkenaan mendapati kesemua peniaga mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ariffin turut menasihati agar semua peniaga lebih bersikap bertimbang rasa dengan menjual barangan pada harga yang berpatutan.
“Sekiranya harga kos yang diperolehi menurun, peniaga amat digalakkan menjual pada harga yang lebih rendah daripada kebiasaan,” katanya.
Pada Jumaat, KPDNHEP menerusi satu kenyataan berkata, SHMKM mula berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini selain memastikan keberadaan bekalan di pasaran. – MalaysiaGazette