Home Nasional Perpaduan belum dicapai sepenuhnya sejak insiden 13 Mei

Perpaduan belum dicapai sepenuhnya sejak insiden 13 Mei

Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin

SERDANG – Majlis Profesor Negara (MPN) mengakui bahawa masyarakat Malaysia masih belum mencapai semangat perpaduan yang diingini semua bangsa terutamanya selepas tercetusnya perisitiwa berdarah 13 Mei 1969.

Timbalan Pengerusinya, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Baharuddin berkata, walaupun seluruh dunia melihat Malaysia sebagai model terbaik dalam aspek perpaduan, hakikatnya ia masih belum dapat dicapai.
“Kita idamkan perpaduan, ke mana saja kita pergi, kita bincang tentang perpaduan. Tapi kita tahu perpaduan itu belum mencapai (tahap), semua (rakyat) mengaku ia belum dicapai.
“Apa benda yang kita capai? Kita tiada perkataan untuk mengurangkan kejayaan kita itu, iaitu kejayaan menjalin kesepaduan, perpaduan belum (dicapai), (tapi) kesepaduan sudah ada,” katanya dalam Wacana Ilmuan Negaraku Malaysia: Di Mana dan Ke Mana kita? di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Beliau berkata, konsep sekolah wawasan antara usaha kerajaan sebelum ini sebagai tapak integrasi juga gagal mencapai perpaduan sebagai mana yang dikehendaki dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tiga perkataan keramat untuk memahami negara Malaysia ini ialah perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan.
“Tetapi kita tahu kesepaduan itu tidak menjanjikan semuanya dapat dipenuhi,” jelasnya.
Katanya lagi, perpaduan itu hanya dapat dicapai sekiranya semua pihak terus berusaha untuk mencapainya melalui aktiviti penyatupaduan.
Menurutnya, penyatupaduan rakyat Malaysia berbilang kaum itu dapat dilihat dalam keadaan dan situasi tertentu tanpa arahan kerajaan malah dilakukan tanpa disedari.
“Kita akan ke kedai, inilah pusat perhimpunan sosial yang timbul dari bawah, tiada arahan kerajaan suruh pergi makan di kedai mamak,
“Kita lakukan tanpa kita sedari iaitu pilihan kita, tempat kita bertemu, tempat kita berbual. Walaupun kedai mamak makanannya tak sedap tapi di situ kita pergi ramai-ramai,” katanya.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya, Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong berucap pada Wacana Ilmuwan Sambutan Hari Malaysia Majlis Profesor Negara 2017 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2017.
Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, hasrat perpaduan ataupun penyatupaduan linguistik yang dinyatakan dalam Penyata Razak pada 1956 seperti mana ditegaskan dalam akta pendidikan di negara ini dilihat tidak berhasil.
Katanya, ia berpunca daripada wujudnya polarisasi kaum bermula dari sekolah, institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta hingga ke tempat kerja.
“Tidak dapat dinafikan gejala polarisasi ini adalah kerana sistem pendidikan kita membenarkan pelbagai aliran persekolahan menggalakkan pengasingan etnik.
“Ia berlaku pada usia cukup muda, iaitu di peringkat tadika dan sekolah rendah lagi,” katanya.
Beliau berkata, pembentukan identiti kebangsaan dari aspek Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih gagal menjadi identiti rakyat negara ini khususnya bukan Melayu.
“Sepatutnya setelah 60 tahun kita merdeka, ia menjadi sebahagian daripada identiti peribadi rakyat di negara ini, secara umumnya ia juga telah gagal,” katanya.
Katanya, pembentukan identiti itu gagal apabila masih terdapat segelintir bukan Melayu yang tidak bangga bertutur dalam bahasa kebangsaan dan lebih malang lagi tidak menguasainya.
“Terdapat ramai dalam kalangan rakyat kita yang dari kelompok bukan Melayu tidak mengetahui bahasa negara kita ini dengan baik, malah ada yang tidak mengetahuinya langsung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.