KUALA LUMPUR – Malaysia optimis Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Thailand dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia ekoran berkembangan positif perbincangan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu pada hujung bulan ini.
“Kita ada perbincangan untuk VTL dengan negara-negara lain selain Singapura, Thailand, Indonesia, beberapa negara lain juga, ada sedikit sebanyak kemajuan.
“Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan adakan lawatan rasmi ke Thailand pada 29 dan 30 Disember depan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kerangka Dasar Luar oleh Perdana Menteri, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan berhubung usaha berkenaan giat dilakukan bersama rakan sejawatan beberapa negara seperti Brunei dan Thailand.
Selain itu, katanya, VTL di antara Kuala Lumpur-Jakarta sudah memasuki fasa rundingan asas, dengan kedua-dua negara sedang meneliti perincian lanjut.
Untuk rekod, negara pertama yang menjalinkan VTL dengan Malaysia adalah Singapura pada 28 November lalu. – MalaysiaGazette