Home Politik Mereka yang tumbangkan BN cemas, takut bayang-bayang sendiri – Zahid

Mereka yang tumbangkan BN cemas, takut bayang-bayang sendiri – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang pernah menguasai kerajaan selama 22 bulan begitu bimbang dengan kebangkitan Barisan Nasional (BN) selepas menyaksikan kemenangan besar komponen parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Kebimbangan itu dalam kalangan mereka yang masih bersama dalam gabungan politik kerajaan singkat itu, mahupun yang telah menarik diri atau mereka yang menarik diri untuk menyelamatkan diri selepas mendapati gabungan politik berkenaan ditolak rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga hari ini mereka bersama-sama meratib penuh ketakutan dan kekhuatiran melihat kebangkitan semula BN.

Disebabkan itu, pelbagai kata-kata nista, tohmahan dan adu domba kembali diungkapkan ke atas BN dan para pemimpinnya.

”Mereka begitu cemas dan gementar pemimpin-pemimpin politik itu terhadap kebangkitan BN ekoran takutkan bayang-bayang sendiri.

”Takut kepada segala keburukan, kejahatan dan penganiayaan yang pernah mereka lakukan terhadap BN,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ini kerana, katanya, mereka menumbangkan kerajaan BN pada tahun 2018 dengan fitnah, pembohongan dan tipu daya.

Mereka juga didakwa melakukan “character assassination” (pembunuhan watak) secara terancang ke atas pemimpin BN untuk menghasut kebencian rakyat.

Selain itu, mereka menewaskan kerajaan BN dengan menabur begitu banyak janji-janji palsu kepada rakyat.

”Tidak cukup dengan itu menekan pemimpin BN yang masih setia kepada BN dengan sangat dahsyat apabila memperoleh kuasa.

”Tetapi kita percaya penuh yakin kali ini rakyat tidak akan terpedaya lagi walau apa mereka rancangkan ke atas BN dan pemimpinnya,” ujar beliau.

Namun, Ahmad Zahid berkata, dengan izin Tuhan kebangkitan BN menuju kemenangan PRU-15 tidak akan mampu disekat.

”Insya-Allah BN akan kembalikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan yang amat dirindui rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette