Home Utama BM City Mall ibarat bom jangka, bangunan tinggi tanpa sistem kebakaran

BM City Mall ibarat bom jangka, bangunan tinggi tanpa sistem kebakaran

Penduduk BM City Mall, Pulau Pinang dakwa sistem perpaipan ditempatkan sekali dengan bilik generator elektrik menjadikan bangunan itu ibarat bom jangka mengancam nyawa penduduk.

BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 2,000 penduduk BM City Mall di sini hidup dalam keresahan apabila unit bangunan komersial yang dibeli mereka didakwa ibarat bom jangka yang boleh mengancam nyawa mereka pada bila-bila masa.

Rata-rata penduduk mendakwa sistem kebakaran tidak disediakan dengan sempurna, sekali gus menyebabkan mereka berdepan risiko nyawa sekiranya berlaku kebakaran.

Zainudin menunjukkan sistem panggilan terus kepada pihak bomba yang dibiarkan tidak lengkap pada bangunan komersial BM City Mall, Bukit Mertajam di sini.

Bangunan setinggi 23 tingkat yang siap dibina pada tahun 2016 itu menempatkan premis perniagaan di tingkat bawah manakala penempatan penghuni bermula dari tingkat lapan hingga 23.

Penghuni, Song Choon Thiam, 39, berkata, mereka berdepan situasi ini sejak tahun 2016 namun sehingga kini tiada sistem keselamatan kebakaran yang sempurna dipasang oleh pihak bertanggungjawab.

Jelasnya, ciri-ciri keselamatan sebagai bangunan komersial tidak ditunjukkan dalam pembinaan bangunan itu, namun penduduk perlu membayar cukai, bil elektrik serta air mengikut tarif komersial.

Song Choon Thiam.

“Bayangkan bangunan ini siap tanpa sebarang peralatan memadam api, sistem pancur basah, sistem penggera serta pintu rintangan api.

“Pelbagai aduan dan tindakan undang-undang sudah dibuat berhubung isu ini dan pihak bertanggungjawab hanya tampil memasangkan alat kebakaran mengikut lokasi aduan.

“Contohnya, aduan dibuat di tingkat 11 atau pusat gimnasium mereka hanya pasangkan sistem di situ tempat lain yang sepatutnya perlu ada sistem kebakaran itu diabaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Menurut Zainudin Yaacob, 48, mereka sekeluarga terpaksa pindah ke rumah lain susulan bimbang faktor keselamatan ahli keluarga.

Zainudin.

Jelasnya, bangunan komersial yang dijual kepada orang ramai dengan harga hampir RM400,000 itu dibina tanpa memikirkan risiko yang boleh mengancam nyawa penduduk.

“Tidak mustahil insiden kebakaran di Grenfell Tower di London berlaku di sini kerana sistem paip bangunan ini ditempatkan sama dengan bilik generator elektrik, sekali gus menunjukkan risiko berlaku kebakaran di bangunan ini amat tinggi.

“Setiap kali pergi kerja saya kena fikir keselamatan isteri serta tiga anak di rumah sedangkan semua orang idamkan kediaman sendiri sebagai tempat perlindungan selamat buat keluarga tetapi buat penduduk di sini ia merisikokan nyawa.

Zainudin menunjukkan tiada pemasangan sistem pancur basah di kaki lima unit komersial itu sedangkan ia merupakan syarat wajib bagi bangunan komersial.

“Saya tiada pilihan lain kecuali pindah kerana bimbang sekiranya berlaku kebakaran anak serta isteri menjadi mangsa korban kerana sistem kebakaran turut tidak disediakan secukupnya,” katanya yang bertugas sebagai penjawat awam.

Sementara itu, Ang Yeow Yee, 33, yang merupakan pemilik premis perniagaan di bangunan tersebut mendakwa premisnya juga tidak dilengkapi sistem pemadaman kebakaran.

Ang Yeow Yee.

“Tingkat lapan dan ke atas yang dijadikan kediaman pihak bertanggungjawab mendakwa itu unit kediaman jadi ada syarat untuk sistem pemadaman kebakaran namun bagaimana dengan premis perniagaan saya?

“Saya menjalankan perniagaan kedai serbaneka sekali gus menggunakan pelbagai alat serta barangan di jual di premis itu sekiranya berlaku kebakaran tuntutan insuran pun tidak boleh dilakukan kerana bangunan ini tiada hak milik strata.

Tiada pintu rintangan api antara bangunan antara yang meresahkan penduduk sekiranya berlaku kebakaran.

“Adakah mereka tunggu berlaku insiden mengorbankan nyawa baru mahu bertindak? Sedangkan sudah banyak aduan kami utarakan dari peringkat negeri hingga persekutuan,” katanya.

Tambah Yeow Yee, mereka memohon campur tangan pihak berwajib agar unit bangunan komersial yang dimiliki penduduk itu selamat untuk didiami. – MalaysiaGazette