Home Nasional Najib luah rasa kecewa dengan keputusan mahkamah

Najib luah rasa kecewa dengan keputusan mahkamah

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak meluahkan kecewa dengan keputusan mahkamah rayuan yang mengekalkan sabitan salah berhubung penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd terhadapnya hari ini.

Malah Najib sekali lagi bersumpah mengatakan dirinya tidak tahu tentang dana berjumlah RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

Kata Najib, dia juga tidak pernah sesekali mengarahkan sesiapa untuk memasukkan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya.

“Saya amat kecewa dengan keputusan dibuat mahkamah rayuan pagi tadi, saya telah minta pasukan bela saya buat rayuan ke mahkamah persekutuan dengan segera.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, atas nama Allah, saya tidak pernah minta atau mengarahkan sesiapa untuk memasukkan RM42 juta masuk ke dalam akaun peribadi saya,” katanya dalam sidang media khas secara aplikasi Zoom yang turut di sertai peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sebentar tadi, mahkamah rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International selepas menolak rayuan Najib.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Bagaimanapun tiga panel hakim membenarkan permohonan peguam belanya untuk menagguhkan perlaksanaan hukuman sehingga kes itu dibawa ke mahkamah persekutuan.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan. – MalaysiaGazette