Home Nasional Yayasan Sultanah Fatimah nafi peruntukan kepada NGO berunsurkan politik

Yayasan Sultanah Fatimah nafi peruntukan kepada NGO berunsurkan politik

Hasni Mohammad ( tengah ) beramah mesra dengan npertubuhan
ISKANDAR PUTERI  — Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) Datuk Tee Siew Kiong menemplak pembangkang yang mendakwa peruntukan yang diberi kerajaan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berunsurkan politik.
Beliau menegaskan, peruntukan berkenaan diberikan selepas melakukan penilaian terhadap peranan NGO dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Peruntukan ini tiada langsung berkaitan politik sebaliknya kerajaan menyalurkan berdasarkan kerja keras mereka dalam membantu golongan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga warga emas.
“Boleh tanya kepada mereka yang menerima peruntukan, saya tidak tahu latar belakang mereka, bahkan parti apa mereka sokong.
”Saya hanya lihat mereka kuat bekerja untuk membantu golongan memerlukan,” katanya di Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Pertubuhan-Pertubuhan Kebajikan Negeri Johor, di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa peruntukan yang diberikan adalah kepada NGO yang ‘mesra’ dengan Barisan Nasional sahaja.
Tee yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Johor turut menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai agenda politik.
“Saya nafikan semua dakwaan ini, mungkin mereka yang memfitnah ada agenda tertentu.
Terdahulu dalam majlis itu, Hasni menyerahkan replika cek bernilai RM500,000 kepada 21 pertubuhan kebajikan di negeri ini yang melibatkan pertubuhan anak yatim, OKU dan warga emas.- MalaysiaGazette